Mangsa tikam stabil, dijangka keluar hospital dalam masa terdekat

7 Jul 2026, 1:19 PM
Mangsa tikam stabil, dijangka keluar hospital dalam masa terdekat

BANTING, 7 JULAI: Mangsa insiden tikaman di sebuah sekolah di sini semalam dijangka dibenarkan keluar dari Hospital Banting dalam masa terdekat selepas menjalani pembedahan dan kini berada dalam keadaan stabil.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata mangsa sedar, mampu duduk serta makan selepas menjalani rawatan.

Beliau berkata perkara itu dimaklumkan Pengarah Hospital Banting Dr Malindawati Mohd Fadzil ketika lawatan ke atas mangsa hari ini.

"Dr Malinda, pengarah hospital, memaklumkan pembedahan telah dilakukan, mangsa stabil dan memerlukan kira-kira seminggu untuk pulih.

"Insya-Allah, jika keadaan mengizinkan, pihak hospital akan membenarkan mangsa keluar dari hospital," katanya kepada Media Selangor.

Anfaal berharap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor dapat menyalurkan bantuan selepas mangsa dibenarkan pulang termasuk sokongan bagi membantu proses pemulihan.

Menurut beliau, sokongan berterusan penting bagi memastikan mangsa dapat menjalani proses pemulihan dengan lebih baik selepas menerima rawatan di hospital.

Semalam, Media Selangor melaporkan seorang pelajar perempuan cedera selepas dipercayai ditikam dalam kejadian di sebuah sekolah di Banting.

Susulan kejadian itu, kawalan keselamatan di sekolah berkenaan dipertingkatkan dengan pengawal keselamatan ditempatkan di pintu masuk selain mengawal aliran trafik.

Pada masa sama, ibu bapa menggesa pemeriksaan keselamatan diperkukuh bagi memastikan keselamatan pelajar dan warga sekolah terus terjamin.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.