SHAH ALAM, 3 NOV: Lelaki berusia lingkungan 20-an maut dipercayai ditetak sekumpulan lelaki dalam kejadian di Banting, Kuala Langat, semalam.
Kejadian dipercayai berpunca daripada dendam, namun polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif sebenar.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 12.01 tengah malam.
Menurutnya, mangsa tinggal bersama ibu dan bapanya di Banting.
"Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca dendam, namun motif sebenar masih dalam siasatan," katanya, lapor Berita Harian.
Susulan kejadian itu, polis menahan tiga lelaki di sekitar Banting bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.






