SHAH ALAM, 7 JULAI: Suasana di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Banting kembali tenang apabila sesi persekolahan berjalan seperti biasa pagi ini, sehari selepas insiden tikaman yang menggemparkan negara. Namun, di sebalik rutin yang kembali pulih, kebimbangan masih menyelubungi ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah.
Kawalan keselamatan turut dipertingkat dengan pengawal memantau pintu masuk serta mengawal aliran trafik. Bagaimanapun, ibu bapa mahu pemeriksaan keluar masuk diperketat bagi memastikan keselamatan pelajar dan warga sekolah benar-benar terjamin.
Mereka juga memaklumkan masih ada pelajar yang terkesan secara emosi susulan insiden itu dan berharap lebih banyak sokongan psikososial disediakan bagi membantu mereka pulih.
Farah, 39, yang mempunyai anak perempuan di tingkatan tiga dan pernah bersekolah rendah bersama mangsa, berkata anaknya tetap hadir ke sekolah walaupun masih dibayangi trauma.
"Anak saya tidak takut. Dia kata semuanya okey, cuma masih sedikit trauma," katanya kepada Media Selangor ketika ditemui hari ini.

Menurut Farah, kejadian itu mungkin dapat dielakkan sekiranya kawalan keluar masuk sekolah lebih ketat kerana pintu pagar sentiasa dibuka sehingga membolehkan orang ramai keluar masuk kawasan sekolah tanpa kawalan rapi.
Beliau turut mencadangkan pihak sekolah bekerjasama dengan hospital menjalankan saringan kesihatan mental terhadap pelajar tingkatan satu. Katanya, penilaian awal serta rekod perubatan boleh membantu mengenal pasti pelajar yang memerlukan intervensi sebelum keadaan menjadi lebih serius.
Semalam, media melaporkan seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun cedera selepas ditikam beberapa kali oleh seorang lagi pelajar perempuan di sebuah sekolah di Banting. Insiden itu disahkan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.
Polis kemudian menahan suspek dan memperoleh perintah reman selama empat hari sehingga Jumaat (10 Julai). Mangsa kini dilaporkan stabil dan sedang menerima rawatan di hospital.
Laporan media turut menyebut suspek, yang dipercayai bersekolah di sekolah sama, tidak hadir ke sekolah sejak beberapa bulan lalu kerana menjalani rawatan. Motif serangan serta kronologi penuh kejadian masih dalam siasatan.
Hasnuddin Daiman, 56, yang mempunyai anak perempuan di tingkatan lima, mengakui terkejut kerana insiden seumpama itu tidak pernah berlaku sepanjang anak-anaknya bersekolah di situ.

"Saya bimbang kerana anak saya belajar di sini. Bagaimana jika perkara sama berlaku lagi? Anak saya tidak trauma, tetapi dia sangat terkejut apabila melihat senjata dan darah," katanya.
Ibu bapa mahu akses sekolah lebih terkawal
Sementara itu, beberapa ibu bapa menggesa pihak sekolah memperketat kawalan keluar masuk bagi mengelakkan sebarang risiko yang boleh mengancam keselamatan pelajar.
Pesara penjawat awam, Ramlan Salimin, 65, berkata aspek keselamatan tidak boleh dipandang ringan kerana ibu bapa meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pihak sekolah sepanjang anak-anak berada di dalam kawasan sekolah.
"Mereka yang tiada urusan tidak sepatutnya dibenarkan keluar masuk sesuka hati kerana keadaan itu boleh membuka ruang kepada perkara yang tidak diingini," katanya.

Beliau turut menggesa pihak sekolah dan ibu bapa terus berwaspada kerana keselamatan pelajar sepanjang waktu persekolahan merupakan tanggungjawab bersama.
Seorang lagi ibu bapa, Suhaimi Poon, 55, mencadangkan supaya waktu lawatan ke sekolah dihadkan selain kawalan di pintu masuk diperkukuh.
"Pihak sekolah perlu lebih peka dan pengawal keselamatan perlu lebih tegas bagi memastikan hanya individu yang mempunyai urusan dibenarkan memasuki kawasan sekolah. Mengehadkan waktu lawatan adalah langkah yang lebih selamat," katanya.
Media Selangor difahamkan Pasukan Smart Support Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), yang dianggotai guru bimbingan dan kaunseling terlatih, telah digerakkan ke sekolah berkenaan bagi memberikan sokongan psikososial kepada pelajar serta warga sekolah yang terkesan.







