SHAH ALAM, 23 NOV: Sebuah premis makanan di sekitar Banting diarah tutup selepas gagal mematuhi aspek kebersihan dalam operasi pemeriksaan dijalankan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), baru-baru ini.
MPKL memaklumkan tujuh notis kesalahan dikeluarkan susulan pemeriksaan yang mengenal pasti pelbagai pelanggaran peraturan.
Menurutnya, empat notis dikeluarkan mengikut Undang-Undang Kecil Establisyemen Makanan (MDKL) 2007.
Sementara itu, masing-masing satu notis dikeluarkan mengikut Undang-Undang Kecil Mencegah Kekotoran MDKL 1994, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) serta Undang-Undang Kecil Iklan.
"Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk kegagalan menyelenggara premis dalam keadaan baik dan bersih, tidak menyelenggara perangkap minyak serta menjalankan perniagaan tanpa lesen.
"Turut dikesan ialah perbuatan membuang sampah di tempat awam, meletakkan peralatan perniagaan di kaki lima tanpa kebenaran dan mempamerkan papan iklan tanpa lesen," katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Susulan pemeriksaan itu, MPKL mengeluarkan perintah penutupan premis mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisyemen Makanan (MDKL) 2007.
Pemilik premis turut diarahkan mengambil tindakan pembetulan terhadap ketidakpatuhan yang dikenal pasti.
Sehubungan itu, MPKL menasihatkan semua pemilik dan pengusaha premis makanan di Kuala Langat supaya sentiasa memastikan premis berada dalam keadaan bersih serta mematuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan.









