EXCO: Selangor perluas program cegah buli ke sekolah bawah JAIS

7 Jul 2026, 7:17 AM
EXCO: Selangor perluas program cegah buli ke sekolah bawah JAIS
EXCO: Selangor perluas program cegah buli ke sekolah bawah JAIS

SHAH ALAM, 7 Julai: Kerajaan Negeri akan memperluas Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak:KASIH Kanak-Kanak ke sekolah bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tahun ini bagi memperkukuh usaha mencegah budaya buli.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata inisiatif advokasi keselamatan dan perlindungan kanak-kanak itu dilaksanakan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor.

Menurutnya, program berkenaan menggunakan pendekatan Pembimbing Rakan Sebaya bagi memupuk budaya saling melindungi serta meningkatkan kesedaran murid terhadap bahaya buli.

"Tahun ini, insya-Allah kita akan bekerjasama dengan sekolah-sekolah di bawah JAIS bagi memperluaskan program advokasi keselamatan kanak-kanak.

"Kita memperkasakan rakan sebaya supaya lebih peka terhadap budaya buli melalui pendekatan pencegahan dan membudayakan nilai yang positif, iaitu budaya tolak buli," katanya ketika dihubungi Media Selangor hari ini.

Menurut Anfaal, program itu dilaksanakan secara jelajah daerah sejak 2024 dengan pembiayaan Kerajaan Negeri bagi meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan kanak-kanak di sekolah, institusi dan ruang awam.

EXCO Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata, pelaksanaan tahun ini dibahagikan kepada tiga siri dengan siri pertama dijadualkan berlangsung pada 27 Julai.

"Siri kedua akan diadakan pada Ogos dengan memberi tumpuan kepada murid sekolah rendah, manakala siri ketiga melibatkan kanak-kanak daripada GISBH serta pusat jagaan di bawah Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).

"Keseluruhan program tahun ini dijangka melibatkan 28 sekolah menengah dan 25 sekolah tahfiz menengah, selain 11 sekolah rendah serta 24 sekolah tahfiz rendah di seluruh Selangor," katanya.

Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan seorang individu berpakaian serba hitam membawa senjata tajam dipercayai sebilah pisau di kawasan sebuah sekolah sehingga mencetuskan panik dalam kalangan pelajar.

Dalam rakaman video berdurasi 29 saat itu, sekumpulan pelajar dilihat bertempiaran menyelamatkan diri sambil kedengaran bunyi tiupan wisel.

Suspek kemudian ditahan dan direman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.