EXCO: Selangor perkasa usaha tangani kes pembuangan bayi

12 Jul 2026, 12:00 AM
EXCO: Selangor perkasa usaha tangani kes pembuangan bayi
EXCO: Selangor perkasa usaha tangani kes pembuangan bayi

SHAH ALAM, 12 JULAI: Kerajaan Negeri sedang meneliti beberapa inisiatif baharu bagi memperkukuh sistem perlindungan kanak-kanak dan sokongan keluarga susulan laporan yang menunjukkan Selangor merekodkan jumlah kes pembuangan bayi tertinggi di negara ini.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata antara inisiatif yang sedang dipertimbangkan ialah memperkasa pembangunan kapasiti petugas barisan hadapan dan pihak berkepentingan di peringkat komuniti yang terlibat dalam perlindungan kanak-kanak.

Menurutnya, Kerajaan Negeri turut merancang memperluaskan program pendidikan pencegahan yang menyasarkan golongan remaja, ibu bapa dan komuniti.

“Langkah lain yang sedang dirancang dan dipertimbangkan termasuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan kaunseling dan sokongan psikososial, memperkukuh kerjasama rentas sektor bagi memperbaiki pengenalpastian awal individu berisiko serta memanfaatkan data dan pendekatan berasaskan bukti untuk mengenal pasti trend serta membangunkan intervensi yang lebih bersasar,” katanya kepada Media Selangor.

Anfaal berkata inisiatif tersebut melengkapkan langkah sedia ada yang dilaksanakan Kerajaan Negeri, termasuk memperkukuh kerjasama dengan hospital, Kementerian Kesihatan (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), institusi pendidikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengenal pasti serta membantu individu berisiko.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Antara langkah utama yang sedang dilaksanakan ialah memperkukuh program pendidikan dan kesedaran awam berkaitan perlindungan kanak-kanak, keibubapaan yang bertanggungjawab serta perkhidmatan sokongan sosial yang disediakan, selain menawarkan kaunseling, sokongan psikososial dan pengurusan kes kepada individu serta keluarga yang berisiko.

“Kerajaan Negeri juga menggalakkan tanggungjawab komuniti bagi meningkatkan pelaporan awal dan intervensi sebelum krisis berlaku, selain memperkukuh perkhidmatan sokongan kepada wanita hamil, kanak-kanak dan keluarga yang berdepan kerentanan sosial atau ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying di Parlimen pada Isnin lalu bahawa Selangor kekal merekodkan jumlah kes pembuangan bayi tertinggi di Malaysia dengan 10 daripada 18 kes yang direkodkan di seluruh negara bagi suku pertama tahun ini.

Menurut beliau, kementerian akan terus bekerjasama dengan KKM, Kementerian Pendidikan (KPM), PDRM, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), agensi kerajaan lain serta NGO bagi menangani punca utama berlakunya kes pembuangan bayi.

Mengulas lanjut, Anfaal berkata kedudukan Selangor sebagai negeri paling padat penduduk, paling pesat membangun dan paling aktif dari segi ekonomi menyumbang kepada jumlah kes perlindungan kanak-kanak serta isu sosial yang lebih tinggi, termasuk kes pembuangan bayi.

Katanya, jumlah kes yang lebih tinggi juga mencerminkan mekanisme pelaporan yang lebih berkesan, tahap kesedaran masyarakat yang semakin meningkat serta kerjasama lebih erat antara agensi penguat kuasa, penyedia perkhidmatan kesihatan, kebajikan sosial dan komuniti.

“Keutamaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bukan sekadar memantau statistik, tetapi memastikan setiap kes yang dilaporkan menerima intervensi, perlindungan dan tindakan susulan yang sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, Anfaal berkata JKM Selangor merekodkan 43 kes pembuangan bayi sepanjang 2025, dengan Petaling mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 15 kes, diikuti Hulu Langat (10), Klang (sembilan), Subang Jaya (tiga) dan Shah Alam (tiga).

Pada 2026, sebanyak 11 kes direkodkan di Petaling setakat ini, manakala Klang dan Hulu Langat masing-masing mencatatkan empat kes.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.