SHAH ALAM, 6 JULAI: Pelajar perempuan yang cedera dalam insiden tikaman di sebuah sekolah menengah di Banting hari ini dipercayai mengenali suspek kerana mereka pernah menjadi rakan sekelas tahun lalu.
Bapa mangsa, Mohd Firuz Ibrahim, 42, bagaimanapun percaya anaknya yang berusia 15 tahun bukan sasaran utama serangan.
Menurut beliau, anaknya tidak pernah mengadu mempunyai sebarang masalah dengan suspek atau pelajar lain sebelum kejadian itu.
"Mereka kenal antara satu sama lain. Mereka rakan sekelas tahun lepas," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Banting hari ini seperti dilaporkan Harian Metro.
Menurut Mohd Firuz, anaknya berkemungkinan menjadi mangsa keadaan kerana kebetulan berada paling hampir dengan suspek ketika kejadian berlaku.
"Saya rasa anak saya bukan sasaran. Mungkin dia mahu menyasarkan orang lain, tetapi anak saya kebetulan berada paling dekat dengannya.
"Mungkin juga kerana badan anak saya agak besar, dia tidak sempat melarikan diri," katanya.
Beliau berkata anaknya mengalami kira-kira 14 kesan tikaman, kebanyakannya pada bahagian belakang badan, selain kecederaan pada muka dan kepala.
Doktor turut memaklumkan paru-paru kiri remaja itu cedera, namun keadaannya stabil dan masih boleh bercakap ketika menerima rawatan di Hospital Banting.
"Semasa saya sampai, keadaannya agak teruk. Tidak lama kemudian, mereka membawanya untuk menjalani imbasan bagi mengenal pasti tahap kecederaannya.
"Paru-paru kirinya tercedera. Dia sedar dan boleh bercakap," katanya.
Mohd Firuz turut berharap aspek keselamatan di sekolah dipertingkat, termasuk melaksanakan pemeriksaan lebih rapi di pintu masuk bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.







