Selangor akan terus perkukuh ekonomi, tarik pelaburan berkualiti - EXCO

3 Jul 2026, 5:19 AM
Selangor akan terus perkukuh ekonomi, tarik  pelaburan berkualiti - EXCO
Selangor akan terus perkukuh ekonomi, tarik  pelaburan berkualiti - EXCO

SHAH ALAM, 3 JULAI: Kerajaan Selangor akan terus memperkukuh ekonomi negeri dengan menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata usaha itu akan terus diperkasa susulan prestasi ekonomi Selangor yang kekal memberangsangkan apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri mencecah RM460.1 bilion pada 2025.

Menurutnya, pencapaian itu membolehkan Selangor terus mengekalkan kedudukan sebagai penyumbang terbesar ekonomi negara dengan menyumbang 26.5 peratus kepada KDNK Malaysia.

“Selangor sekali lagi mencipta sejarah apabila merekodkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 6.3 peratus pada 2025, mengatasi kadar pertumbuhan nasional iaitu 5.2 peratus.

“Empat tahun berturut-turut, ekonomi Selangor terus mencatat rekod baharu dengan nilai KDNK meningkat daripada RM385.2 bilion kepada RM406.6 bilion, seterusnya RM432.1 bilion dan kini RM460.1 bilion. Ini membuktikan hala tuju yang kita ambil adalah tepat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Menurut beliau, kejayaan itu didorong oleh sumbangan usahawan, pelabur, pekerja dan seluruh rakyat Selangor yang bersama-sama memacu pembangunan ekonomi negeri.

Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang dikeluarkan pada Rabu menunjukkan Selangor menyumbang RM460.1 bilion kepada KDNK negara pada 2025, bersamaan 26.5 peratus daripada keseluruhan ekonomi Malaysia.

Terdahulu, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata pertumbuhan ekonomi negeri dipacu oleh pengembangan tiga sektor utama, iaitu perkhidmatan yang meningkat sebanyak RM15.9 bilion, diikuti pembuatan (RM5.3 bilion) dan pembinaan (RM3.7 bilion).

Pada 2024, Selangor merekodkan KDNK sebanyak RM432.1 bilion atau menyumbang 26.2 peratus kepada ekonomi negara.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.