
SHAH ALAM, 13 NOV: Selangor diunjur menjadi negeri pertama mencatatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) melebihi RM500 bilion pada 2027, selepas nilai ekonominya dijangka mencecah RM489 bilion tahun ini.
Dato’ Menteri Besar berkata unjuran itu bersandarkan prestasi ekonomi negeri yang terus berkembang dengan KDNK berjumlah RM460.1 bilion pada 2025, meningkat daripada RM432.1 bilion pada 2024.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, pencapaian tersebut sekali gus menyaksikan sumbangan Selangor kepada KDNK negara meningkat kepada 26.5 peratus.
“Berdasarkan kedudukan semasa ini sumbangan KDNK Selangor 2026 diunjurkan mencecah RM489 bilion dan insya-Allah dengan trajektori pertumbuhan yang positif ini juga akan membolehkan Selangor menjadi negeri yang pertama yang menyumbangkan KDNK bernilai melebihi setengah trilion ringgit atau RM500 bilion pada tahun 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 bertemakan Negeri Progresif, Institusi Dijunjung, Rakyat Disantuni di Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Beliau menjelaskan prestasi ekonomi negeri didorong penyusunan struktur ekonomi menerusi Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang dilaksanakan sepanjang 2021 hingga 2025.
Dalam tempoh itu, katanya, ekonomi Selangor berkembang sebanyak 33.94 peratus apabila nilai KDNK meningkat daripada RM343.5 bilion sebelum pelaksanaan RS-1 kepada RM460.1 bilion pada 2025.
“Di tengah kekalutan dan ketidaktentuan ini, Selangor berada di posisi yang strategik kerana pasak yang kukuh telah kita letakkan melalui perancangan dasar yang strategik dalam tempoh sedekad ini terutama sekali melalui rancangan lima tahun negeri iaitu Rancangan Selangor yang telah pun memasuki penggal yang kedua,” katanya.
Mengulas perkembangan ekonomi antarabangsa, Amirudin berkata dunia memasuki 2026 dengan keyakinan ekonomi global akan pulih dan lebih rancak selepas pandemik Covid-19 serta perang Rusia-Ukraine.
Bagaimanapun, katanya, serangan Israel terhadap Iran pada penghujung Februari menyebabkan harga minyak melambung ke tahap antara tertinggi dalam sejarah berikutan penutupan Selat Hormuz.
“Ketidaktentuan ekonomi ini yang memberikan kesan kepada geopolitik global mengingatkan saya kepada fenomena yang disebut oleh seorang pemikir Perancis, Edgar Morin sebagai polycrisis di mana kesalinghubungan dunia moden yang kompleks ini akan membolehkan krisis yang jauh terasa dekat dan mempengaruhi kehidupan kita,” katanya.







