SHAH ALAM, 18 OGOS: EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han mengadakan pertemuan dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCCCI) bagi membincangkan usaha memperkukuh pembangunan ekonomi negeri.
Beliau berkata perbincangan bersama Naib Presiden KLSCCCI Lee Yew Chen serta delegasinya turut menyentuh usaha memanfaatkan kekuatan Selangor dan mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk pertumbuhan perniagaan.
"Dalam persaingan yang semakin sengit, perniagaan memerlukan bakat, peluang pasaran dan persekitaran yang menyokong untuk terus berdaya saing serta berkembang," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut Sze Han, dialog yang lebih kerap antara Kerajaan Negeri dan komuniti perniagaan mampu meningkatkan kefahaman kedua-dua pihak.
Katanya, usaha itu juga akan membuka lebih banyak peluang kepada Selangor dari segi pembangunan ekonomi.
"Saya berharap dapat memperkukuh kerjasama dengan KLSCCCI bagi terus memacu ekonomi Selangor," katanya.
Beliau turut mengajak semua pihak berganding bahu memastikan Selangor terus berkembang maju.







