RS-2 fokus pembangunan ekonomi makro, rapat jurang pembangunan daerah: MB

6 Ogos 2026, 5:56 AM
RS-2 fokus pembangunan ekonomi makro, rapat jurang pembangunan daerah: MB
RS-2 fokus pembangunan ekonomi makro, rapat jurang pembangunan daerah: MB

SHAH ALAM, 6 OGOS: Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang akan dibentangkan esok memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi secara makro serta usaha merapatkan jurang pembangunan antara daerah, kata Dato' Menteri Besar.

Dato' Seri Amirudin Shari berkata, kejayaan ekonomi Selangor tidak hanya diukur berdasarkan angka pertumbuhan semata-mata, sebaliknya melalui peningkatan kualiti hidup rakyat yang berteraskan konsep kehidupan wajar dan bermaruah.

Menurutnya, pendekatan itu sejajar dengan usaha Kerajaan Negeri memperluas konsep kehidupan bermaruah sebagai penanda aras baharu dalam merangka dasar pembangunan dan pembasmian kemiskinan.

"Kehidupan bermaruah tidak hanya diukur berdasarkan angka pendapatan, sebaliknya turut mengambil kira cara pendapatan itu dijana, akses kepada keperluan asas serta peluang penyertaan dalam ekonomi dan sosial.

"Apabila kita bercakap tentang kehidupan bermaruah, ada lima kerangka penting iaitu pendapatan dan pekerjaan mencukupi, perumahan selamat dan mampu milik, akses kepada kesihatan serta pendidikan berkualiti, jaringan keselamatan sosial dan persekitaran hidup yang selamat.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menjawab soalan ketika Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 6 Ogos 2026. Foto REMY ARIFIN/ MEDIA SELANGOR

"Ia bukan sekadar melihat angka pendapatan, tetapi bagaimana pendapatan itu diperoleh dan memastikan rakyat tidak terpaksa melakukan perkara yang menjejaskan maruah diri semata-mata untuk memenuhi keperluan hidup," katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Amirudin berkata, konsep kehidupan bermaruah dicadangkan sebagai pendekatan yang lebih menyeluruh berbanding penggunaan ukuran kemiskinan tegar atau kemiskinan relatif dalam menilai keberkesanan program pembasmian kemiskinan.

Katanya, menerusi RS-2, pencapaian ekonomi negeri akan diterjemahkan kepada peningkatan kualiti hidup rakyat berdasarkan keperluan setiap daerah.

"Ini adalah satu anjakan yang penting. Di saat kita ingin merangka dasar dan program pembasmian kemiskinan, daripada hanya meletakkan garis kemiskinan sebagai satu kayu ukur kejayaan kepada kehidupan wajar atau kehidupan bermaruah.

"Sebelum ini pembasmian kemiskinan merupakan strateginya. Mereka kurang RM200 atau RM300 kita bantu dengan BINGKAS atau zakat. Itu menjadikan kadar kemiskinan tegar kita telah mencecah hanya sekitar 0.9 peratus ikut data ICU, kemiskinan relatif kita satu digit 8.5 peratus berbanding 12 peratus sebelum kita laksanakan.

"Tapi sekarang kita bukan nak tengok kadar kemiskinan itu, kita nak tengok kehidupan wajar dan kita akan pecahkan ikut daerah dan lokaliti. Inisiatif tambahan Kerajaan Negeri bukan hanya dengan sumbangan kewangan tetapi kemudahan dan peluang perniagaan serta sebagainya," katanya.

RS-2 dijadual dibentangkan di Dewan Negeri Selangor jam 3 petang esok (7 Ogos) sebagai pelan pembangunan baharu yang akan memacu pembangunan negeri secara lebih inklusif dan mampan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.