SHAH ALAM, 22 JUN: Johor berpotensi muncul sebagai negeri berpendapatan tinggi sekiranya diberi peluang ditadbir Pakatan Harapan (HARAPAN), kata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Dato' Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata pencapaian ekonomi yang dicatatkan Selangor membuktikan pentadbiran HARAPAN mampu meningkatkan pertumbuhan ekonomi, pendapatan rakyat dan peluang pekerjaan secara menyeluruh.
Menurut Amirudin, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Selangor pada 2024 mencecah RM432.1 bilion berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), manakala Johor mencatatkan KDNK RM158 bilion.
“Saya yakin kalau kita diberikan amanah dan kepimpinan serta sokongan yang besar daripada rakan-rakan pimpinan di peringkat Putrajaya, sebagaimana yang ditonjolkan oleh Perdana Menteri dan rakan-rakan Menteri Kabinet, kita mampu meningkatkan nilai ekonomi Johor jauh lebih baik.
“Johor ada 56 Dewan Undangan Negeri (DUN), Selangor ada 56 DUN. Saya percaya HARAPAN boleh meningkatkan sumbangan KDNK Johor kepada Malaysia lebih daripada 15 peratus kalau kita diberikan amanah kepimpinan di Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pengumuman calon HARAPAN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Padang Bukit Gambir Extreme Park, Tangkak malam ini.

Amirudin yang juga Pengarah Pilihan Raya Bersama KEADILAN berkata Johor ketika ini masih berada dalam kategori negeri berpendapatan sederhana apabila mencatatkan KDNK per kapita RM44,762 pada 2024.
Katanya, dengan sokongan kerajaan Persekutuan dan pelaksanaan reformasi ekonomi yang berkesan, Johor berupaya menyertai kelompok negeri berpendapatan tinggi seperti Selangor dan Pulau Pinang.
“Nilai pendapatan Johor masih lagi menjadi middle income trap negeri dengan pendapatan purata RM44,762.
“Dengan sokongan Kerajaan Persekutuan, dengan reformasi yang kita lakukan dalam penstrukturan ekonomi negara dan negeri, saya yakin kita boleh menjadikan Johor sebagai sebuah negeri berpendapatan tinggi kalau HARAPAN diberikan kepimpinan,” katanya.
Beliau turut membandingkan prestasi pelaburan dan peluang pekerjaan antara kedua-dua negeri apabila Selangor berjaya mewujudkan 456,400 peluang pekerjaan baharu dalam tempoh 2022 hingga 2026, berbanding 352,200 peluang pekerjaan di Johor.
Menurut Dato' Menteri Besar itu, Johor mempunyai potensi besar untuk berkembang sekiranya ditadbir secara cekap dan memberi tumpuan kepada pembangunan di semua daerah, bukan hanya di kawasan tertentu.
“Anak-anak Johor tak perlu menyeberang Tambak setiap pagi ke Singapura untuk mencari rezeki. Johor jadi tempat yang berharga untuk peluang pekerjaan baharu yang bernilai tinggi,” katanya.
Amirudin berkata HARAPAN menawarkan pendekatan pembangunan yang lebih seimbang dengan memastikan kemajuan dan peluang ekonomi dinikmati seluruh rakyat Johor termasuk di daerah luar bandar seperti Mersing, Kota Tinggi, Tangkak dan Segamat.

Beliau turut menjadikan inisiatif Jualan Ehsan Rahmah di Selangor sebagai contoh program yang boleh diperluaskan di Johor bagi membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup.
Menurutnya, Selangor telah menambah peruntukan Jualan Ehsan Rahmah (JER) sebanyak RM5 juta menjadikan keseluruhan peruntukan RM10 juta susulan ketidaktentuan ekonomi dan krisis bekalan tenaga.
“Selain Jualan Rahmah, di Selangor kita ada Jualan Ehsan Rahmah. Sempena dengan peristiwa krisis kewangan ini ataupun krisis bekalan tenaga, Selangor umumkan pakej rangsangan. Kita tambah peruntukan Jualan Ehsan Rahmah RM5 juta lagi menjadi RM10 juta.
“Dalam tempoh enam bulan di Selangor kita akan buat 776 Jualan Ehsan Rahmah di semua pelusuk Selangor. Kalau kita boleh buat di Selangor, InsyaAllah kita boleh tambah Jualan Rahmah di Johor,” katanya.
Pada masa sama, Amirudin berkata manifesto HARAPAN yang akan diumumkan dalam masa terdekat akan menggariskan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan memperkukuh ekonomi negeri.
“Kita datang bukan hanya mengkritik, bukan hanya memberikan teguran, tapi kita datang dengan solusi.
“Manifesto ini bukan satu contoh yang tidak boleh kita lakukan, tapi telah kita lakukan. Dan kita lakukan tidak lain dan tidak bukan untuk kebahagiaan, kesejahteraan rakyat Johor,” katanya.








