SHAH ALAM, 2 JULAI: Selangor kekal sebagai penyumbang terbesar ekonomi negara dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah RM460.1 bilion pada 2025, berdasarkan laporan terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang dikeluarkan semalam.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata, jumlah itu mewakili 26.5 peratus daripada keseluruhan aktiviti ekonomi negara.
Pada 2024, Selangor menyumbang RM432.1 bilion kepada KDNK negara atau 26.2 peratus.
“Semalam, DOSM melaporkan angka rasmi prestasi ekonomi negara bagi tahun 2025 yang menyatakan bahawa ekonomi negeri Selangor berkembang sebanyak RM28 bilion kepada RM460.1 bilion.
"Pertumbuhan nilai ekonomi Selangor sebanyak RM28 billion pada tahun 2025 adalah lebih dua kali ganda berbanding mana-mana negeri di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Amirudin berkata pencapaian itu turut mengatasi tinjauan ekonomi yang dilaksanakan Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama Selangor Research Institute (SRI) yang menganggarkan ekonomi Selangor akan berkembang kepada kira-kira RM455.3 bilion.
“Prestasi ini sekali gus mengembangkan saiz ekonomi Selangor kini melebihi 1.7 kali berbanding Kuala Lumpur dan 2.7 kali ganda berbanding Johor,” katanya.
Beliau berkata kadar pertumbuhan ekonomi Selangor sebanyak 6.3 peratus pada 2025 turut melebihi paras pertumbuhan ekonomi negara iaitu 5.2 peratus.
Menurutnya, pertumbuhan itu didorong oleh pengembangan tiga sektor utama, iaitu perkhidmatan yang meningkat sebanyak RM15.9 bilion, pembuatan (RM5.3 bilion) dan pembinaan (RM3.7 bilion).
“Pencapaian ini terus mengukuhkan Selangor apabila negeri ini kini menyumbang lebih satu pertiga, atau 35.9 peratus, daripada keseluruhan industri pembinaan negara.
“Sumbangan Selangor kepada sektor pembuatan negara turut meningkat kepada 32.8 peratus, manakala sektor perkhidmatan mengukuh kepada 27.1 peratus daripada aktiviti perkhidmatan seluruh negara,” katanya.







