SHAH ALAM, 2 JULAI: Peserta Program Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Selangor 2026 perlu cakna dengan situasi semasa, selain pantas dan berhemah dalam melontarkan pandangan.
Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) Lau Weng San berkata, kemampuan menguasai maklumat terkini termasuk isu berlaku di luar Selangor membolehkan peserta mengemukakan pandangan berasaskan fakta.
“Suasana politik di negeri kita sentiasa bertukar-tukar. Ia satu evolusi zaman yang mana kadang-kadang sebagai orang politik perlu respons dengan cepat apa yang berlaku di luar sana.
“Cabaran kita sebagai penjawat awam, ahli politik dan juga orang awam… adakah kita mampu menguasai maklumat terkini yang tepat dan pantas, kemudiannya bagi pendapat dengan masa pantas.
“Dahulu boleh ambil masa tetapi kini sebaliknya. Contohnya Pilihan Raya Negeri Johor, respons kepada media di sini... adakah kita mampu menguasai yang berlaku di suatu tempat jauh daripada kita,” katanya pada majlis makan malam ADN Muda Selangor, semalam.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan peserta supaya menghormati perbezaan pendapat serta mengemukakan hujah secara matang dengan mematuhi undang-undang serta peraturan tetap persidangan.
“Setiap persidangan sudah pasti berdepan dengan perbezaan ideologi begitu juga jika akan datang mewakili kawasan berdepan situasi sama.
“Ini pertandingan, permainan dan beri pengalaman baik. Sebagai ADN Muda mainkan peranan dan sampaikan hujah dengan kematangan serta pastikan bertepatan dengan undang-undang dan peraturan tetap,” katanya.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Sulit kepada Dato' Menteri Besar, Mohd Hidayat Mohd Sauffi berkata peserta juga perlu bersikap realistik ketika membawa suara rakyat supaya setiap cadangan yang dikemukakan relevan dan mampu dilaksanakan.
“Bagaimana hendak membawa suara rakyat ke suatu tahap sifatnya realistik dan pendekatan itu rasional. Kenapa orang hilang kepercayaan pada institusi politik tatkala ia tidak mempertahankan kerelevanan dan pendekatan emosional.
“Kita ada idealisme tetapi jika tidak berpijak dibumi realiti, kerelevanan akan dipersoalkan. Ini cabaran semua institusi politik dan penjawat awam. Jadi penting untuk gali ilmu dan amanah diberikan. Ia sebahagian pendidikan politik,” ucapnya.

Program ADN Muda Selangor 2026 berlangsung selama dua hari bermula semalam, melibatkan 56 belia yang dipilih daripada 232 permohonan.
Empat usul utama dipilih bagi edisi tahun ini, iaitu mobiliti bandar, celik undang-undang, kesihatan mental dan konsep kediaman bersama.
Kesemua usul diputuskan menerusi proses pengundian bagi membolehkan peserta membahaskan isu yang dekat dengan kehidupan masyarakat, selain mencadangkan penyelesaian yang berpotensi diketengahkan ke DNS.
Program yang diperkenalkan sejak 2014 itu bertujuan memberi pendedahan kepada belia berusia antara 18 hingga 35 tahun mengenai proses demokrasi, penggubalan dasar serta perjalanan Sidang DNS.








