SHAH ALAM, 26 JUN: Program Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Selangor pada 1 dan 2 Julai ini dijangka memberi tumpuan kepada perbahasan empat usul menarik, merangkumi isu kritikal yang dihadapi golongan belia di negara ini.
Speaker Lau Weng San berkata seramai 56 belia akan membahaskan empat usul strategik berkaitan hal ehwal perumahan, undang-undang, keselamatan bandar serta kesihatan.
“Seramai 56 peserta telah terpilih dan mengesahkan penyertaan. Peserta terdiri daripada 40 orang lelaki (71 peratus) dan 16 orang wanita (29 peratus).
“Tahun ini juga kita mendapat penyertaan wakil orang kurang upaya (OKU), selain seorang belia paling muda berumur 18 tahun, yang juga bekas peserta Debat Darul Ehsan pada 2024,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan Pertandingan Debat Generasi Madani Piala Tuan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) 2026 (Debat Darul Ehsan) yang diadakan di Wisma DNS di sini, semalam.
Dalam pada itu, Weng San berkata, agenda pembangunan belia diteruskan dengan penganjuran Program Kepimpinan Air Belia Selangor pada 4 Julai ini, melibatkan alumni ADN Muda bagi sesi 2024 hingga 2026.
Menurutnya, program kali kedua itu dilaksanakan dengan kerjasama strategik bersama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Air Selangor.
“Saya berharap agar kedua-dua program ini menjadi platform substantif yang membolehkan belia Selangor bukan sahaja memahami proses penggubalan dasar, malah turut menyumbangkan idea bernas dan matang demi masa depan negeri,” katanya.
Program ADN Muda yang mula diperkenalkan sejak 2023 dianjur bagi memberi pendedahan awal kepada belia berumur 18 hingga 35 tahun mengenai proses demokrasi dan perbahasan dasar negeri.








