SHAH ALAM, 1 JULAI: Program Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Selangor 2026 memberi ruang kepada peserta menentukan sendiri usul yang akan dibahaskan, dengan cadangan itu berpotensi diketengahkan pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).
Speaker Dewan Negeri Selangor, Lau Weng San berkata, buat julung kalinya pemilihan usul dibuat sepenuhnya oleh peserta menerusi proses pengundian tanpa campur tangan penganjur, sekali gus memastikan isu yang dibahaskan benar-benar mencerminkan keutamaan golongan belia.
Katanya, pendekatan itu bukan sahaja memberi peluang kepada peserta memilih sendiri isu yang ingin diketengahkan, malah memupuk amalan demokrasi dalam kalangan anak muda.
"Buat pertama kali usul yang dibentangkan dipilih sepenuhnya oleh peserta menerusi proses pengundian tanpa campur tangan penganjur.
"Ada elemen demokrasi kerana mereka bukan sahaja mengetahui tajuk perbahasan, malah menggunakan hak mereka untuk memilih usul yang ingin dibahaskan," katanya selepas merasmikan Program ADN Muda Selangor 2026 di Dewan Annexe, di sini, hari ini.
Menurutnya, empat usul yang dipilih ialah konsep kediaman bersama, mobiliti, celik undang-undang dan kesihatan mental, iaitu antara isu yang paling dekat dengan kehidupan belia di Selangor.
Beliau berkata, usul yang mendapat sokongan tertinggi akan dibahaskan pada sidang ADN Muda Selangor sebelum berpeluang diketengahkan dalam Sidang Dewan Negeri Selangor untuk pertimbangan Kerajaan Negeri.
Katanya, sidang ADN Muda merupakan platform berprestij yang sering mencetuskan perbahasan lebih meluas dalam masyarakat, malah usul yang dibangkitkan berpotensi mendapat maklum balas Kerajaan Negeri apabila dibawa ke Sidang DNS.
"Walaupun peserta tidak dipilih melalui pilihan raya, isu yang mereka bangkitkan boleh dianggap mewakili suara dan keprihatinan anak muda di Selangor," katanya.
Sementara itu, Weng San berkata program kali ini menerima 232 permohonan, namun hanya 56 peserta dipilih menyertai sidang berkenaan.
Katanya, penyertaan tahun ini turut melibatkan seorang peserta orang kurang upaya (OKU) yang mengalami masalah sistem saraf, manakala penyertaan wanita mewakili kira-kira 29 peratus daripada keseluruhan peserta.
Beliau berharap program selama dua hari itu dapat mengasah bakat peserta serta melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang berwibawa pada masa depan.
Program ADN Muda Selangor yang diperkenalkan sejak 2014 kembali dianjurkan pada 2024 selepas tertangguh akibat pandemik COVID-19 dan kini memasuki penganjuran tahun ketiga berturut-turut.








