SELCAT teliti keberkesanan projek tebatan, penggunaan dana tangani banjir

23 Nov 2026, 8:26 AM
SELCAT teliti keberkesanan projek tebatan, penggunaan dana tangani banjir

SHAH ALAM, 23 NOV: Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) akan menyiasat isu banjir di negeri ini, termasuk keberkesanan projek pembangunan tebatan dan penggunaan peruntukan kewangan bagi menangani isu itu.

Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Lau Weng San berkata SELCAT akan meneliti itu susulan isu banjir yang banyak dibangkitkan Ahli Dewan Negeri (ADN) sepanjang persidangan kali ini.

"Sebagai cabang legislatif, DNS mempunyai tanggungjawab memantau dan menyemak pelaksanaan projek pembangunan serta penyelenggaraan yang dilaksanakan pihak eksekutif Kerajaan Negeri.

"Kami akan mengumpulkan maklumat berkaitan, khususnya perkara yang dibangkitkan ADN dan pihak eksekutif sepanjang perbahasan, untuk dijadikan input awal dalam penelitian ini," katanya pada sidang media selepas persidangan DNS di sini, hari ini.

Beliau berkata antara agensi yang berkemungkinan dipanggil untuk mengemukakan dokumen ialah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, JPS daerah serta jabatan kejuruteraan pihak berkuasa tempatan (PBT) di daerah Petaling, Kuala Selangor, Kuala Langat dan Sepang.

Jelasnya, penelitian dokumen tidak terhad kepada jabatan Kerajaan Negeri, malah boleh melibatkan agensi Persekutuan dan syarikat swasta jika diperlukan.

“Antara kaedah yang boleh digunakan ialah pendengaran awam kerana SELCAT mempunyai kuasa memanggil saksi untuk memberikan keterangan. Kita tidak akan teragak-agak berbuat demikian sekiranya perlu,” katanya.

Beliau berharap penelitian itu dapat membantu mengenal pasti penyelesaian segera, khususnya bagi menangani masalah banjir di daerah Klang dan Kuala Selangor.

“Lembangan Sungai Selangor dan Sungai Langat merupakan antara lembangan sungai utama yang perlu diberi perhatian dalam usaha menangani masalah banjir,” katanya.

Sebelum ini, Speker DNS itu berkata isu banjir, pengurusan sisa pepejal dan pengangkutan awam menjadi antara tumpuan utama ADN pada persidangan kali ini.

Perkara itu dikenal pasti menerusi analisis 799 soalan lisan dan bertulis yang diterima daripada wakil rakyat bagi persidangan berkenaan.

Daripada jumlah itu, isu banjir dan tebatan banjir mencatatkan 17 soalan daripada 17 ADN, manakala pengurusan sisa pepejal menerima jumlah soalan sama daripada 16 ADN.

Semalam, Dato’ Menteri Besar menegaskan PBT diberi kuasa menggantung projek pembangunan yang gagal memenuhi spesifikasi mitigasi banjir yang ditetapkan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu bagi memastikan pemaju menyediakan langkah tebatan banjir mencukupi dalam projek pembangunan terutama kolam takungan dan sistem perparitan sepanjang tempoh pembinaan serta selepas projek siap.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.