SHAH ALAM, 23 JUN: Sidang Khas Dewan Negeri Selangor (DNS) yang berlangsung selama tiga hari bagi membahaskan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor ditangguhkan hari ini.
Speaker DUN Selangor Lau Weng San berkata Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Ke-15 akan berlangsung dari 3 Ogos hingga 14 Ogos depan.
Menurut beliau, persidangan akan datang turut menyaksikan penggunaan sepenuhnya sistem e-Sidang baharu bagi urusan pertanyaan dewan, penghantaran jawapan jabatan serta pengesahan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
“Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian usaha pembaharuan institusi bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan urusan perundangan Dewan Negeri Selangor.
“Saya juga menyeru semua Ahli Dewan Negeri (ADN) aktif hadir dalam mesyuarat dan persidangan dewan mengambil bahagian dalam perbahasan dewan secara aktif serta hadir semasa jawapan disampai oleh ahli MMKN.
“Ia sama ada dalam sesi pertanyaan ataupun sesi penggulungan supaya tiada soalan yang tidak dapat dijawab. Ahli MMKN dibenarkan mengemukakan jawapan secara bertulis sekiranya ADN berkenaan yang membangkitkan isu tertentu tidak hadir dalam dewan,” katanya sebelum menangguhkan persidangan khas tersebut hari ini.
Sementara itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sidang khas itu menjadi platform penting untuk membahaskan hala tuju negeri serta beberapa anjakan dasar yang dirangka bagi mendepani cabaran ekonomi semasa.
Menurut beliau, penyertaan aktif ADN sepanjang persidangan membuktikan komitmen Kerajaan Negeri terhadap amalan tadbir urus yang telus dan bertanggungjawab.
“Sidang ini memberi ruang kepada kita membahaskan hala tuju dan beberapa perubahan serta anjakan negeri.
“Kebertanggungjawaban ini telah ditonjolkan oleh pentadbiran dan pengurusan dengan penyertaan yang sangat aktif serta respons yang sangat positif daripada seluruh ahli dewan,” ujarnya.







