SHAH ALAM, 24 NOV: Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini dimulakan dengan sesi bertafakur selama seminit bagi menghormati pemergian bekas Ahli Dewan Negeri (ADN) tiga penggal, Chua Kow Eng pada Ahad lalu (22 November).
Speaker DNS Lau Weng San menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang sebelum memulakan sesi pertanyaan lisan.
“Saya bagi pihak Dewan Negeri Selangor dan ahli-ahli Dewan ingin merakamkan ucapan takziah kepada isteri mendiang Puan Lee Shou Kim dan seluruh ahli keluarga. Jasa dalam pengorbanan mendiang besar kepada negeri Selangor.
“Pemergian mendiang adalah satu kehilangan yang besar kepada negeri. Saya ingin menjemput ahli-ahli Yang Berhormat agar bangun dan bertafakur selama satu minit atas pemergian mendiang,” katanya pada persidangan DNS di sini, hari ini.

Mendiang pernah berkhidmat selama tiga penggal sebagai ADN selepas memenangi kerusi DUN Sementa pada 1969, Klang Bandar (1990) dan Bandar Klang (1995).
Sementara itu, Pengerusi DAP Selangor Ng Sze Han ketika dihubungi turut menzahirkan ucapan takziah dan merakamkan rasa dukacita kepada keluarga mendiang.
Beliau berkata mendiang yang berusia 86 tahun menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.40 petang, 22 November lalu, meninggalkan isteri dan tiga anak.
“Pemergian mendiang merupakan satu kehilangan kepada keluarga, sahabat handai serta mereka yang pernah mengenali beliau sepanjang hayatnya,” katanya.







