Rebat sewa: MBSJ mampu tanggung pengurangan hasil sewaan premis

30 Jun 2026, 1:05 PM
Rebat sewa: MBSJ mampu tanggung pengurangan hasil sewaan premis

SUBANG JAYA, 30 Jun: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berupaya menanggung sedikit pengurangan hasil sewaan premis susulan pelaksanaan rebat sewa 30 peratus kepada penyewa di bawah pentadbirannya sebagai sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Negeri menyokong kelangsungan perniagaan.

Datuk Bandarnya, Dato' Amirul Azizan Abd Rahim berkata rebat sewa itu merupakan antara langkah MBSJ menyokong peniaga tempatan yang berdepan tekanan ekonomi global.

"Kita telah bincangkan perkara ini semalam dan ia akan dilaksanakan secara menyeluruh. Semua penyewa premis di bawah MBSJ akan menerima pengurangan sewa ini," katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata, walaupun pelaksanaan rebat itu akan mengurangkan pendapatan daripada sewaan premis MBSJ, impaknya masih berada pada tahap yang boleh diurus.

"Kita telah membuat pengiraan dan mendapati pengurangan hasil itu hanya sedikit. Ini menunjukkan pihak berkuasa tempatan juga sanggup berkorban demi rakyat di kawasan pentadbiran masing-masing," katanya.

Pada 19 Jun lalu, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari mengumumkan pengurangan kadar sewa premis milik PBT sebanyak 30 peratus bagi tempoh enam bulan, bermula Julai hingga Disember.

Beliau berkata, inisiatif di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 itu bertujuan membantu peniaga menghadapi kesan krisis bekalan dan tenaga global, sekali gus memberi manfaat kepada 21,234 penyewa premis PBT di seluruh Selangor.

Menurutnya, langkah itu dijangka membantu mengurangkan kos operasi peniaga, sekali gus memastikan harga makanan dan perkhidmatan kekal berpatutan kepada pengguna.

Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor merupakan inisiatif bernilai RM355.06 juta yang dilaksanakan dalam dua fasa bagi menangani tekanan inflasi global, gangguan rantaian bekalan serta ketidaktentuan ekonomi semasa.

Sementara itu, Amirul berkata rebat sewa berkenaan dijangka membantu meningkatkan aliran tunai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selain memastikan aktiviti perniagaan di bandar raya itu terus berkembang.

"Ia bukan sekadar pengumuman atau pelancaran sesuatu inisiatif. Pihak berkuasa tempatan juga perlu memainkan peranan. Tidak mengapa jika kita kehilangan sedikit hasil, asalkan rakyat dapat bangkit semula dan perniagaan dapat diteruskan.

"Daripada penilaian semasa, pengurangan hasil itu tidak begitu besar dan kami percaya ia boleh ditampung menerusi penjimatan beberapa perbelanjaan operasi MBSJ," katanya.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.