SUBANG JAYA, 15 NOV: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menafikan dakwaan penguatkuasaan terpilih terhadap sebuah premis makanan di kawasan komersial USJ 9 yang tular di media sosial.
MBSJ menegaskan dakwaan itu tidak benar kerana tindakan turut diambil terhadap premis perniagaan lain yang didapati melanggar peraturan.
Menurutnya, sepanjang 2026, sebanyak 109 rekod tindakan penguatkuasaan melibatkan 30 premis perniagaan di USJ 9 dan USJ 10, merangkumi pengeluaran Notis Tindakan Kesalahan (NTK), kompaun serta sitaan.
“Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk meletakkan meja, kerusi dan peralatan perniagaan di luar premis tanpa permit serta menggunakan ruang awam tanpa kebenaran atau tidak mematuhi syarat permit yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.
MBSJ turut memaklumkan notis dikeluarkan kepada 10 pemilik premis pada 10 Februari lalu susulan penemuan binaan tambahan tanpa kebenaran, termasuk struktur slab di atas longkang awam yang menjejaskan akses serta kerja penyelenggaraan dan pembersihan.

Katanya, tindakan turut melibatkan pemasangan struktur penghadang (railing) dan sengkuap (awning) yang memasuki kawasan awam.
"Pemeriksaan susulan pada 25 Mei mendapati enam premis telah mematuhi arahan, manakala empat lagi termasuk Restoran Nasi Lemak Warisan Sambal Opah masih belum melaksanakan pembetulan.
"Bagaimanapun, MBSJ memberikan tempoh sehingga 30 November ini kepada empat premis terbabit untuk mematuhi arahan selepas mempertimbangkan rayuan yang dikemukakan," katanya.
Menurut MBSJ, tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara berperingkat mengikut prosedur ditetapkan, dengan memberi peluang dan tempoh sewajarnya kepada pengusaha untuk membuat pembetulan.
Pihak berkuasa tempatan itu turut menegaskan pemilikan lesen perniagaan tidak memberikan hak automatik kepada pengusaha untuk membina struktur tambahan atau menggunakan ruang awam tanpa kelulusan sah.
“Semua pengusaha tertakluk kepada peraturan yang sama bagi memastikan keselamatan, keselesaan dan kepentingan awam terpelihara,” katanya.
MBSJ turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan dakwaan tidak berasas atau memainkan sentimen perkauman yang boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat.
"Kami memandang serius perkara itu dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sewajarnya sekiranya terdapat bukti berlakunya kesalahan," katanya.








