SUBANG JAYA, 24 NOV: Orang ramai kini boleh memantau paras air secara masa nyata di 13 lokasi berisiko banjir dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).
Kemudahan itu disediakan menerusi Sistem Pemantauan Paras Air yang diperkenalkan MBSJ bagi meningkatkan kesiapsiagaan komuniti bandar raya menghadapi musim Monsun Timur Laut.
Pemantauan boleh dibuat melalui portal https://pair.mbsj.gov.my yang memaparkan status stesen serta tahap amaran berdasarkan keadaan semasa.
Sistem itu menggunakan tiga tahap amaran iaitu Tahap 1 berwarna kuning bagi status berjaga-jaga, Tahap 2 berwarna oren bagi amaran dan Tahap 3 berwarna merah yang menunjukkan bahaya.

Sebanyak 13 stesen pemantauan disediakan iaitu Persimpangan Persiaran Kewajipan dan Perpaduan, USJ9; Persimpangan Persiaran Kewajiban dan Tujuan, USJ13; Kampung Tengah; Kampung Bukit Lanchong; dan Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong.
Turut disenaraikan ialah IOI Mall Puchong; Jalan Kuyoh (Sungai Kuyoh), Serdang Jaya; Jalan 3/15 (Sungai Jinma), Serdang Jaya; Jalan Raya 3 (Sungai Kuyoh), Serdang Jaya; serta Rumah Pam, Taman Sri Serdang (Sungai Kuyoh).
Tiga lagi stesen ialah Jalan TK 2/7, Jalan Bunga Raya dan Jalan Indah 2/6.
Berdasarkan paparan sistem pagi ini, kesemua 13 stesen berstatus dalam talian dan menunjukkan keadaan aras air normal.
Bagi sebarang aduan kecemasan dan bencana dalam kawasan pentadbiran MBSJ, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan MBSJ atau Pasukan PANTAS di talian 03-8024 7700.







