Selangor kurangkan sewa premis PBT 30 peratus, bantu 21,234 peniaga

19 Jun 2026, 2:47 AM
Selangor kurangkan sewa premis PBT 30 peratus, bantu 21,234 peniaga

SHAH ALAM, 19 JUN: Kerajaan Negeri menawarkan pengurangan kadar sewa premis pihak berkuasa tempatan (PBT) sebanyak 30 peratus selama enam bulan, bermula Julai hingga Disember 2026, bagi membantu peniaga menghadapi kesan krisis bekalan dan tenaga global.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata inisiatif di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 itu melibatkan semua 12 PBT di negeri ini dan dijangka memanfaatkan 21,234 peniaga.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM4.5 juta bagi menjayakan bantuan berkenaan yang akan diberikan secara automatik tanpa memerlukan sebarang permohonan daripada peniaga.

"Komuniti penjaja yang menyewa kedai dan gerai di premis PBT merupakan usahawan barisan hadapan yang mewakili ekonomi harian rakyat.

"Demi menggalakkan mereka supaya terus berniaga tanpa meningkatkan harga makanan kepada rakyat, Kerajaan Negeri akan menawarkan pengurangan kadar sewa di premis PBT sebanyak 30 peratus di semua PBT bagi tempoh enam bulan bermula Julai sehingga Disember 2026.

"Bantuan ini akan memanfaatkan seramai 21,234 peniaga dengan peruntukan sebanyak RM4.5 juta daripada Kerajaan Negeri," katanya ketika membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor diperkenalkan sebagai tindak balas Kerajaan Negeri terhadap krisis tenaga dan bekalan global yang tercetus susulan konflik di Asia Barat.

Menerusi pakej tersebut, Kerajaan Negeri melaksanakan beberapa langkah intervensi bagi membantu rakyat dan sektor perniagaan menghadapi cabaran kenaikan kos yang berpunca daripada gangguan rantaian bekalan serta ketidaktentuan pasaran tenaga dunia.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.