SHAH ALAM, 30 JUN: Pembukaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam menerima reaksi positif daripada penduduk Klang yang menyifatkan sistem pengangkutan awam baharu itu mampu mengubah landskap mobiliti harian mereka.
Dua wakil rakyat di daerah berkenaan memaklumkan penduduk kini mula bertanyakan mengenai akses ke pelbagai kemudahan dan destinasi di sepanjang jajaran LRT3, termasuk pusat beli-belah, hospital dan kawasan tumpuan makanan.
Perkhidmatan itu juga dijangka mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian, sekali gus menjimatkan sekurang-kurangnya 50 peratus masa perjalanan berbanding tempoh kira-kira satu jam 30 minit ke ibu kota ketika waktu puncak.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Baru Klang, Dr Quah Perng Fei berkata pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai tambang percuma selama sebulan bermula 29 Jun hingga 31 Julai ini merupakan langkah terbaik bagi menggalakkan orang ramai mencuba perkhidmatan LRT3.

Beliau berkata sistem bas perantara dan perkhidmatan Respons Permintaan Transit (DRT) turut memainkan peranan penting dalam melengkapkan rangkaian pengangkutan awam, khususnya bagi menghubungkan kawasan perumahan dengan stesen LRT3.
"Sistem sokongan ini penting bagi melengkapkan rantaian batuan pertama dan terakhir (first and last-mile), sekali gus menyambungkan stesen rel terus ke kawasan perumahan.
"Saya berharap rangkaian yang semakin menyeluruh ini dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang teruk di sekitar Klang. Malah, kami juga mengalu-alukan penduduk dari daerah luar untuk datang ke Klang bagi menikmati pelancongan satu hari," katanya kepada Media Selangor hari ini.
Galak gaya hidup hijau guna bas perantara, van DRT
Sementara itu, ADN Pandamaran Leong Tuck Chee menggalakkan orang ramai memanfaatkan aplikasi tempahan van DRT, khususnya bagi penduduk yang tinggal di kawasan tanpa akses terus ke jajaran LRT3.
Beliau berkata pengalaman melihat sendiri penumpang menggunakan aplikasi untuk menempah van Rapid KL On-Demand membuktikan perkhidmatan itu mampu melengkapkan perjalanan pengguna ke stesen LRT3.

"Dalam mendepani tekanan kos tenaga dan pengangkutan semasa, beralih kepada mod pengangkutan awam adalah langkah bijak bagi menyokong gaya hidup hijau dan penjimatan tenaga.
"Saya sendiri merancang untuk menaiki LRT3 ini dalam tempoh tambang percuma bagi merasai sendiri pengalaman kemudahan jajaran baharu ini," katanya.
Tuck Chee berkata beliau turut menyaksikan penumpang di kawasannya menggunakan aplikasi bagi menempah van Rapid KL On-Demand dari Stesen Taman Selatan ke Stesen Bandar Bukit Tinggi.
Laluan sepanjang 37.8 kilometer itu menghubungkan Johan Setia dan Bandar Utama menerusi 20 stesen.
Sepanjang tempoh tambang percuma bermula 29 Jun hingga 31 Julai, pengguna turut boleh menikmati perkhidmatan bas perantara kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) di sepanjang jajaran.
Bagi pengguna yang memandu, kira-kira 2,300 petak parkir turut disediakan di enam stesen terpilih.









