SHAH ALAM, 29 Jun: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menyasarkan sehingga 10,000 penumpang menggunakan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam pada hari pertama operasinya hari ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Amir Hamdan berkata, sasaran itu disifatkan sebagai satu pencapaian yang memuaskan, dengan jumlah penumpang dijangka meningkat secara berperingkat kepada purata 67,000 orang sehari dalam tempoh tahun pertama operasi.
“Hari ini merupakan hari pertama operasi ketika orang ramai pergi bekerja dan ke sekolah. Pengguna memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri dengan laluan LRT3.
“Sasaran antara 5,000 hingga 10,000 penumpang pada hari pertama adalah pencapaian yang memuaskan, malah setanding dengan prestasi operasi hari pertama laluan MRT Putrajaya yang turut merekodkan jumlah sama, walaupun mempunyai jajaran yang lebih panjang.
“Kita juga menjangkakan lebih ramai akan mencuba menggunakan LRT3 untuk perjalanan pulang dari tempat kerja pada waktu puncak petang ini, sekali gus meningkatkan jumlah penumpang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Tinjauan Media sempena Hari Pertama Operasi Laluan Shah Alam di Stesen LRT Glenmarie 2 di sini, hari ini.
Menurut beliau, sebanyak 44 bas Rapid KL dan 40 van Rapid KL On-Demand disediakan di sepanjang jajaran LRT3 termasuk 13 bas serta 20 van di Stesen LRT Glenmarie 2 bagi memudahkan perjalanan penumpang.
Amir berkata, laluan itu turut dilengkapi pelbagai ciri teknologi hijau seperti penggunaan lampu diod pemancar cahaya (LED) dan sensor pintar bagi meningkatkan kecekapan tenaga.
“Selain itu, sistem penyaman udara dalam tren turut diselaraskan mengikut keadaan cuaca di luar bagi memastikan penggunaan tenaga lebih cekap tanpa menjejaskan keselesaan penumpang,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Amir berkata Prasarana akan menilai keperluan menyediakan koc wanita di LRT3 berdasarkan permintaan serta corak penggunaan penumpang.
“Tren LRT3 menggunakan konfigurasi tiga gerabak yang membolehkan satu ruang khas diperuntukkan untuk penumpang wanita sekiranya terdapat keperluan pada masa hadapan,” ujarnya.

Projek LRT3 Laluan Shah Alam merupakan pelaburan strategik kerajaan bernilai RM16.63 bilion bagi memperkukuh infrastruktur pengangkutan awam negara.
Laluan sepanjang 37.8 kilometer itu menghubungkan Johan Setia dan Bandar Utama menerusi 20 stesen.
Pada Majlis Pelancaran LRT3 Laluan Shah Alam di Depoh LRT Johan Setia semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tambang percuma selama sebulan bagi perkhidmatan LRT3 Shah Alam dan bas perantaranya, bermula hari ini hingga 31 Julai.










