LRT3 Laluan Shah Alam dibuka, tambang percuma sebulan mulai esok - PM

28 Jun 2026, 5:48 AM
LRT3 Laluan Shah Alam dibuka, tambang percuma sebulan mulai esok - PM

KLANG, 28 JUN: Orang ramai boleh menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam dan bas perantaranya secara percuma selama sebulan bermula esok sempena pembukaan rasmi laluan baharu itu.

Inisiatif berkenaan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan LRT3 Laluan Shah Alam di Depoh Johan Setia, di sini, hari ini.

Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Peluncuran laluan Shah Alam di Depoh Johan Setia Klang pada 28 Jun 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Untuk 29 Jun hingga 31 Julai, tambang perkhidmatan Laluan Shah Alam dan bas perantara akan diberikan secara percuma selama satu bulan,” katanya ketika berucap.

Terdahulu, Anwar menaiki tren LRT3 dari Stesen Seri Andalas ke Stesen Johan Setia, yang mengambil masa kira-kira 15 minit, sebelum menyempurnakan majlis pelancaran.

Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Dato' Menteri Besar Selangor Dato' Seri Amirudin Shari.

Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama kakitangan Prasarana ketika majlis Peluncuran laluan Shah Alam di Depoh Johan Setia Klang pada 28 Jun 2026. Hadir sama Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Dato' Menteri Besar Selangor Dato' Seri Amirudin Shari. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Dengan nilai pelaburan RM16.63 bilion, LRT3 Laluan Shah Alam merupakan antara projek strategik kerajaan bagi memperkukuh sistem pengangkutan awam negara.

Laluan sepanjang 37.8 kilometer itu menghubungkan Johan Setia dan Bandar Utama menerusi 20 stesen serta dikendalikan menggunakan 22 tren tiga gerabak. Ia dijangka memberi manfaat kepada kira-kira dua juta pengguna.

Bagi melengkapkan rangkaian pengangkutan awam, Prasarana Malaysia Berhad sebelum ini memaklumkan sebanyak 40 bas perantara akan beroperasi di 323 hentian merangkumi 13 laluan dengan tambang RM1, dari jam 6 pagi hingga 11.30 malam.

Selain itu, perkhidmatan Rapid On-Demand turut disediakan menggunakan 44 van di 20 zon dengan tambang RM2 dan waktu operasi yang sama.

Semua stesen LRT3 juga dilengkapi kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU), termasuk laluan landai untuk pengguna kerusi roda, tandas mesra OKU dan tempat duduk khas di setiap gerabak.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.