HULU SELANGOR, 20 JUN: Pengurangan kadar sewa premis milik pihak berkuasa tempatan (PBT) yang diumumkan Kerajaan Negeri diyakini membantu peniaga mengekalkan operasi perniagaan dalam keadaan ekonomi yang mencabar.
EXCO Pelaburan dan Perdagangan Ng Sze Han berkata rebat sewaan 30 peratus selama enam bulan menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor merupakan langkah proaktif bagi membantu golongan itu mengurus peningkatan kos operasi.
Menurutnya, kelangsungan perniagaan tempatan perlu terus diberi perhatian memandangkan sektor berkenaan memainkan peranan penting dalam menjana aktiviti ekonomi komuniti serta menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
"Apa yang penting sekali adalah kita perlu memastikan perniagaan tersebut dapat diteruskan supaya ekonomi tempatan terus berjalan dengan lancar dan memberi manfaat kepada masyarakat setempat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Program Jaringan Perniagaan Tempatan (LBC) Siri 2 di Dewan Komuniti Serendah, di sini.
Sze Han berkata inisiatif berkenaan bukan sahaja membantu mengurangkan tekanan kewangan peniaga, malah memberi ruang kepada mereka untuk memperkukuh dan mengembangkan perniagaan.
Semalam, Kerajaan Selangor mengumumkan 15 inisiatif baharu bernilai RM209.26 juta menerusi Fasa 2 Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor susulan ketidaktentuan ekonomi global yang dipengaruhi krisis geopolitik di Asia Barat.
Pakej berkenaan diperkenalkan bagi membantu rakyat, usahawan, petani, nelayan, pencari kerja dan pemain industri mendepani cabaran peningkatan kos operasi, gangguan rantaian bekalan serta risiko kehilangan pekerjaan.









