Selangor umum 15 lagi inisiatif, RM355.06 juta perkukuh daya tahan ekonomi

19 Jun 2026, 3:09 AM
Selangor umum 15 lagi inisiatif, RM355.06 juta perkukuh daya tahan ekonomi
Selangor umum 15 lagi inisiatif, RM355.06 juta perkukuh daya tahan ekonomi
Selangor umum 15 lagi inisiatif, RM355.06 juta perkukuh daya tahan ekonomi

SHAH ALAM, 19 JUN: Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM355.06 juta menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1 dan Fasa 2 bagi mendepani krisis bekalan susulan konflik di Asia Barat.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata daripada jumlah tersebut, RM145.8 juta diperuntukkan bagi Fasa 1 yang sedang dilaksanakan menerusi tujuh inisiatif.

Menurut beliau, RM209.26 juta lagi diperuntukkan bagi Fasa 2 yang merangkumi 15 inisiatif baharu yang diumumkan hari ini.

“Demikianlah, di tengah gelora konflik perang Asia Barat yang mengakibatkan kejutan rantaian bekalan tenaga global, Kerajaan Negeri tampil bukan untuk menjadi Santa Claus, atau mereka yang ingin memberikan wang dengan sesuka hati.

“Tapi Kerajaan Negeri bertindak dengan data, maklumat serta pandangan pakar dan dimulakan dengan perbincangan ilmiah dengan pakar agar kita memperolehi maklumat dan data asas.

“Di saat krisis, kita memerlukan kerjasama dan komitmen daripada semua pihak, kolaborasi bukan hanya anggota Pentadbiran, wakil rakyat dan sebagainya. Tapi kita memerlukan rakyat secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Menurut Amirudin, mesyuarat khas itu diadakan bagi membolehkan setiap cadangan dan langkah yang dirancang dibahaskan secara teratur serta dinilai secara matang demi kepentingan rakyat dan negeri.

Katanya, pendekatan tersebut penting supaya Kerajaan Negeri dapat mengenal pasti tindakan yang paling sesuai bagi menghadapi cabaran semasa dan masa hadapan.

“Ia supaya kita mampu berdepan dengan krisis ini bersama-sama dan mampu menguraikan setiap permasalahan yang berlaku.

“Sudah pasti daripada sidang 'focus group' yang dilaksanakan pasukan petugas khas selama ini kita menerima banyak permohonan namun ada limitasi tertentu.

“Jadi sokongan hari ini bukan hanya memberikan sokongan wang tunai atau kurangkan kelelahan mereka menguruskan faktor kewangan tetapi menjamin sektor runcitan, pertanian dan rangkaiannya bagi pastikan ekonomi negeri terus berdaya saing dan mampu untuk menggerakkan ekonomi Malaysia ke arah lebih baik,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.