MB terima kunjungan ulama Pattani, perkukuh jaringan ilmu serantau

12 Jun 2026, 1:00 PM
MB terima kunjungan ulama Pattani, perkukuh jaringan ilmu serantau

SHAH ALAM, 12 JUN: Dato’ Menteri Besar menerima kunjungan hormat Ketua Lajnah Fatwa Majlis Agama Islam Pattani Pondok Sekam, Haji Baba Li Sekam dari Pattani, Thailand di kediaman rasminya, pagi tadi.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, Baba Li yang juga Mudir Pondok Maahad al-Islami li Dirasat al-Islamiah merupakan tokoh ilmuwan Nusantara yang dikenali dengan penguasaan mendalam terhadap khazanah kitab-kitab turath.

“Tuan Guru Haji Ghazali Ahmad al-Fathani, atau lebih dikenali sebagai Baba Li sering dijemput menyampaikan syarahan serta kuliah di Malaysia dan bukanlah nama asing di Selangor.

“Beliau telah beberapa kali bersama kita dalam pelbagai program keilmuan, termasuk Festival Turath Islami Selangor (FTIS) yang menghimpunkan para ulama, cendekiawan dan pencinta ilmu dari dalam serta luar negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerima kunjungan hormat Ketua Lajnah Fatwa Majlis Agama Islam Patani Pondok Sekam, Tuan Guru Haji Ghazali Ahmad al-Fathani, atau lebih dikenali sebagai Baba Li di kediaman rasminya di Shah Alam pada 12 Jun 2026. Foto Facebook Amirudin Shari

Menurut Amirudin, pertemuan itu diharap dapat memperkukuh hubungan antara ulama dan umara’, selain mengukuhkan jaringan ilmu serantau serta menyuburkan syiar Islam berteraskan ilmu, hikmah dan kesederhanaan di Selangor.

Dalam perkembangan berkaitan, Festival Turath Islami Selangor (FTIS) 2026 yang menghimpunkan cendekiawan Islam pelbagai cabang ilmu dijadual berlangsung pada September ini.

Antara pengisian utama tahun ini termasuk penyertaan bekas Mufti Besar Mesir, Syeikh Dr Ali Juma’ah, yang sebelum ini dua tahun berturut-turut mengupas Kitab Hadis 40 Imam An-Nawawi dalam program berkenaan.

Untuk rekod, edisi sulung FTIS pada 2023 menarik kira-kira 5,000 pengunjung, manakala penganjuran tahun kedua mencatat lonjakan ketara dengan kehadiran hampir 30,000 peserta dari dalam dan luar negara.

Orang ramai mendengar syarahan Sama Sifat Nabi SAW dan Ijazah Hadis Musalsal disampaikan oleh bekas Mufti Besar Mesir, Prof Dr Ali Jum’ah ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 23 Mei 2023 . Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Festival itu bukan sekadar wacana ilmiah, sebaliknya menjadi medan pengajian talaqqi bersanad yang jarang diperoleh di luar institusi pondok.

Peserta berpeluang menimba ilmu secara langsung daripada ulama melalui kaedah tradisi, sekali gus menghidupkan kembali warisan pengajian klasik yang semakin dilupakan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.