KUALA LUMPUR, 11 JUN: Ekspo Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICE) 2026 bakal tampil dengan pameran digital, sekali gus menawarkan pengalaman lebih interaktif kepada pengunjung dalam meneroka inovasi dan teknologi terkini sektor penjagaan.
Penganjuran yang dijadual berlangsung pada Oktober depan turut menyasarkan kehadiran 5,000 pengunjung serta menghimpunkan pemain industri, penyedia perkhidmatan, pertubuhan bukan kerajaan dan agensi berkaitan dalam usaha memperkukuh ekosistem ekonomi penjagaan.
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata pameran digital berkenaan membolehkan pengunjung melihat secara langsung perkembangan teknologi dan penyelesaian baharu yang sedang memacu transformasi sektor penjagaan.

"Selain itu, pameran digital tersebut juga membolehkan pengunjung melihat sendiri secara langsung inovasi dan teknologi terkini yang ditawarkan pemain industri sekali gus memacu pertumbuhan ekosistem ekonomi penjagaan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi Jaringan Minum Petang SICE 2026 di Flamingo Hotel By The Lake, di sini, hari ini.
Menurut Anfaal, sesi jaringan strategik itu diadakan sebagai platform memperkukuh libat urus antara Kerajaan Negeri dan pemegang taruh industri bagi memastikan penganjuran ekspo berkenaan memenuhi keperluan semasa sektor penjagaan.
Katanya, penglibatan pelbagai pihak sejak peringkat awal penting bagi membolehkan SICE 2026 berfungsi bukan sekadar sebagai pameran, malah menjadi platform yang mampu merancakkan pembangunan sektor penjagaan secara mampan.
SICE 2026 akan berlangsung dari 15 hingga 17 Oktober depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan tema "Experience Care: Discover the Future of Care".
Penganjuran ekspo itu bertujuan memperkasa ekonomi penjagaan menerusi inovasi produk dan perkhidmatan, selain mengukuhkan kerjasama strategik antara pemain industri, penyedia perkhidmatan, NGO dan agensi berkaitan dalam memacu pertumbuhan sektor berkenaan.









