KUALA LUMPUR, 9 OKT: Perspektif masyarakat terhadap aspek penjagaan perlu diubah memandangkan sektor itu menyumbang kepada ekonomi negara selain berperanan besar dalam kehidupan moden.
Justeru, EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari menjelaskan agenda penjagaan perlu dijadikan sebahagian daripada rancangan pembangunan selain pelaburan masa depan kepada ekonomi dan sosial negara.
Beliau berkata ketika ini, sektor itu masih dilihat sebagai kerja kasih sayang dan bukannya kerja berkemahiran, yang berkemampuan menjamin kesejahteraan keluarga serta kestabilan sosial.
“Mereka ini adalah barisan hadapan yang memastikan warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan anak-anak mendapat penjagaan berterusan. Sumbangan mereka ini tidak diukur secara formal namun tetap memberi kesan kepada ekonomi.
“Andai kata sektor ini dibuang, disingkirkan pastinya ibu-ibu bekerja berdepan masalah, perlu mengambil cuti dan ini akan beri kesan kepada piramid ekonomi,” katanya merasmikan Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS) hari ini.

Sidang julung kali diadakan itu berlangsung sempena penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 berlangsung dari semalam hingga Sabtu ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.
Anfaal berkata Kerajaan Negeri turut mengiktiraf golongan berjaga sebagai rakan pembangunan sosial kerana ia mampu mengurangkan tekanan ke atas sistem kesihatan dan kebajikan awam.
“Penjagaan adalah kerja yang memerlukan kemahiran, empati dan ketahanan mental yang tinggi. Jadi wujudnya keperluan untuk menyediakan latihan, sokongan psikologi dan rehat berkala.
“Ini penting supaya penjaga tidak bekerja dalam keletihan atau kesunyian. Masa depan sistem penjagaan bergantung kepada bagaimana kita menghargai dan menyokongnya,” katanya.
Pada Ogos, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata SICS dijangka menjadi platform terbaik untuk pihaknya menarik dan memperkukuh pelaburan dalam sektor penjagaan.
Katanya sidang yang menghimpunkan pengusaha, penyelidik, badan bukan kerajaan dan pemain industri teknologi penjagaan dari dalam dan luar negara itu juga sebagai persediaan Selangor menghadapi realiti masyarakat menua.