SHAH ALAM, 10 JUN: Kerajaan Selangor menegaskan isu kediaman bertingkat yang didirikan secara tidak sah di Kampung Baru Sungai Makau, Mukim Ulu Langat yang tular di media sosial baru-baru ini bukanlah perkara baharu, sebaliknya telah melalui pelbagai proses penguatkuasaan sejak 2016.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata pelbagai langkah telah diambil oleh agensi kerajaan termasuk pengeluaran notis amaran, kompaun, operasi bersepadu, siasatan dan penguatkuasaan mengikut peruntukan undang-undang.
Menurutnya, tindakan itu melibatkan beberapa agensi termasuk Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Langat, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia serta operasi perobohan terhadap struktur yang dibina tanpa kebenaran.
“Untuk makluman, tindakan dan penguatkuasaan terhadap struktur yang dibina tanpa kebenaran di kawasan tersebut bukanlah perkara baharu.
“Pelbagai tindakan telah diambil oleh agensi kerajaan sejak tahun 2016 termasuk pengeluaran notis amaran, kompaun, operasi bersepadu, siasatan serta tindakan penguatkuasaan oleh PDT Hulu Langat, MPKj, LUAS, PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia serta perobohan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Kenyataan itu dibuat susulan penjelasan rasmi PDT Hulu Langat berhubung isu kediaman bertingkat berkenaan yang menjadi perhatian orang ramai sejak kebelakangan ini.
Amirudin berkata Kerajaan Negeri akan terus memantau perkembangan semasa dan mengambil tindakan sewajarnya berlandaskan undang-undang sedia ada.
“Kerajaan Negeri menegaskan akan terus memantau keadaan semasa dan mengambil tindakan sewajarnya berlandaskan undang-undang sedia ada,” katanya.
Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi dan tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang tidak tepat atau mengelirukan di media sosial.







