BANGI, 24 OKT: Lebih ramai murid di Selangor berpeluang menikmati makanan berkhasiat apabila Program Nutrisi Selangor (NutriSel) dirancang dilaksanakan sepanjang tahun depan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan program sarapan percuma tersebut memanfaatkan kira-kira 106,000 murid setakat ini, dengan peruntukan RM12 juta.
“Sambutannya sangat baik. Saya sedang kira, pertimbang tahun depan kita cuba laksanakan NutriSel sepanjang tahun untuk anak-anak dalam Selangor,” katanya berucap merasmikan Program Madani Kita@Sungai Ramal di sini, hari ini.
Program di Sekolah Kebangsaan Jalan Tiga Bandar Baru Bangi itu dihadiri lebih 4,000 pengunjung, selain 34 agensi dan rakan strategik yang menawarkan pelbagai perkhidmatan antaranya kebajikan dan kesihatan.
Program NutriSel yang diperkenal menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor bermula serentak di 932 sekolah seluruh negeri pada 3 Ogos lalu dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan.
Murid daripada keluarga berpendapatan bawah RM2,000 menerima manfaat program berkenaan dengan bantuan makanan percuma disediakan pada setiap Isnin dan Khamis.
Dalam pada itu, Amirudin berkata pihaknya sentiasa memikirkan keperluan rakyat dan berusaha memastikan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan meringankan beban masyarakat.
Beliau menambah Selangor turut memperuntuk sumber bagi membantu golongan memerlukan, termasuk melalui pelbagai program pendidikan dan bantuan kepada pelajar institusi pengajian tinggi.
“Kita menanggung sebahagian kos pengajian dan penginapan bagi 4,000 anak Selangor yang melanjutkan pengajian di institusi terpilih seperti Universiti Islam Selangor, Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor dan Universiti Selangor bagi mengurangkan beban kewangan mereka,” katanya.
Menurutnya, Kerajaan Negeri akan terus meneliti keperluan masyarakat dan menambah baik pelaksanaan inisiatif sedia ada supaya bantuan dapat disalurkan kepada golongan sasaran.
“Kerjasama antara kerajaan dan masyarakat juga penting bagi memastikan setiap program yang diperkenalkan memberi kesan positif kepada kehidupan rakyat,” katanya.









