SHAH ALAM, 31 OKT: Kerajaan Selangor sedang meneliti beberapa perincian bagi memuktamadkan Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dengan pemeteraian dijangka dibuat dalam tempoh terdekat.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata asas persefahaman itu telah dipersetujui, namun beberapa perkara yang dianggap sensitif masih perlu diperhalusi bersama kepimpinan parti berkenaan.
Menurutnya, pelaksanaan CSA di peringkat Persekutuan menjadi rujukan dan memudahkan usaha membentuk kerjasama antara Kerajaan Negeri dengan Bersatu.
“Tunggu sebentar, ia sudah ada di peringkat Persekutuan dan makin mudah untuk kita laksanakan di peringkat Selangor. Memang itu caranya untuk memastikan ada kerjasama ataupun ada persefahaman di peringkat Persekutuan.
“Memang ada rundingan dengan Bersatu dan sekiranya menjadi, mereka akan beri sokongan secara en bloc (secara keseluruhan) tetapi masih kekal sebagai pembangkang.
“Asasnya dan dasar sudah ada tetapi mungkin ada beberapa perincian yang sedikit sensitif yang perlu diambil kira,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sanjungan Budi sempena penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-22 dan Para SUKMA 2026 di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, malam tadi.

Pada 29 Oktober lalu, Kerajaan MADANI memeterai CSA dengan 13 Ahli Parlimen, terdiri daripada enam wakil rakyat Bersatu, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan enam Ahli Parlimen Bebas yang merupakan bekas ahli Bersatu.
Enam Ahli Parlimen Bersatu itu ialah Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh), Datuk Dr Radzi Jidin (Putrajaya), Datuk Ali Biju (Saratok), Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (Langkawi), Mohd Nazri Abu Hassan (Merbok) dan Datuk Azman Nasrudin (Padang Serai).
Menerusi perjanjian itu, wakil rakyat terbabit bersetuju menyokong pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga tamat penggal Parlimen semasa, termasuk Belanjawan 2027.
Perjanjian itu turut merangkumi komitmen terhadap reformasi institusi, termasuk cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal serta mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.







