SUBANG JAYA, 25 OKT: Hab Metamorphosis Selangor (MetaSEL) kini berkembang menjadi pusat sehenti bersepadu bagi menyokong pengurusan inovasi dan perkongsian maklumat, khususnya dalam sektor awam negeri.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkembangan itu penting dalam memperkukuh urusan pentadbiran, selain memudahkan perkongsian data dan maklumat antara pelbagai pihak.
Menurutnya, Hab MetaSEL merangkumi keseluruhan proses inovasi, bermula daripada mengenal pasti masalah dan menjana idea kepada pembangunan serta pelaksanaan penyelesaian diikuti perkongsian ilmu dan peluasan inovasi.

“Hab MetaSEL bukan sekadar nama atau platform, sebaliknya melambangkan kesediaan negeri untuk berubah, belajar dan menambah baik cara bekerja.
“Perubahan itu perlu diterjemahkan melalui tindakan nyata, kerjasama erat dan penyampaian perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi Metamorfosis Selangor 2026 sempena Anugerah Inovasi Negeri Selangor (AINS) di Hilton Shah Alam Glenmarie, malam tadi. Turut hadir EXCO Pembudayaan Inovasi, Dr Mohammad Fahmi Ngah.
Amirudin berkata penggunaan penuh Hab MetaSEL dalam penganjuran AINS tahun ini membuktikan keupayaan platform digital itu menyokong pengurusan inovasi secara lebih tersusun dan bersepadu.
Menurutnya, platform berkenaan digunakan sepanjang proses penganjuran, bermula daripada pendaftaran projek hingga penilaian.
“Ini menunjukkan bagaimana platform digital boleh menyokong pengurusan inovasi secara lebih tersusun dan bersepadu,” katanya.

Dilancarkan pada Oktober tahun lalu, Hab MetaSEL berfungsi menghimpunkan ekosistem inovasi Selangor di bawah satu platform, sekali gus memperkukuh daya saing negeri sebagai hab inovasi utama di Malaysia dan rantau ini.
Amirudin menyifatkan inisiatif itu sebagai sebahagian daripada peralihan Selangor ke arah masa depan yang lebih pintar dan mampan, menerusi hubungan antara dunia fizikal dengan digital serta pembentukan ekosistem inovasi yang lebih kukuh.









