Kediaman bertingkat didiami etnik Rohingya bakal dirobohkan

10 Jun 2026, 1:59 PM
Kediaman bertingkat didiami etnik Rohingya bakal dirobohkan

SHAH ALAM, 10 JUN: Sebuah kediaman bertingkat yang didirikan secara tidak sah di Kampung Baru Sungai Makau, Mukim Hulu Langat bakal dirobohkan mengikut peruntukan undang-undang, kata Pegawai Daerah Hulu Langat.

Dato’ Mohd Jusni Hashim berkata tindakan itu akan dilaksanakan susulan pelbagai operasi dan tindakan penguatkuasaan yang telah diambil oleh agensi berkaitan terhadap struktur berkenaan sejak beberapa tahun lalu.

Pegawai Daerah Hulu Langat Dato’ Mohd Jusni Hashim. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

"Berhubung dengan bangunan kediaman bertingkat yang dimaksudkan, satu tindakan perobohan akan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

"Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Langat bersama semua agensi penguatkuasaan daerah sentiasa komited dalam menjalankan tindakan penguatkuasaan terhadap pencerobohan tanah kerajaan berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai bangunan bertingkat yang tular di media sosial baru-baru ini, Mohd Jusni berkata sebahagian besar struktur tersebut dibina di atas lot tanah milik individu, manakala sebahagian kecil lagi berada di atas rizab jalan.

“Turut dikenal pasti beberapa struktur kediaman lain dibina tanpa kebenaran di atas lot berkenaan serta lot bersebelahan yang merupakan rizab sungai dan pernah didiami penduduk etnik Rohingya,” katanya.

Menurutnya, rekod PDT Hulu Langat menunjukkan Notis Amaran Pendudukan Secara Tidak Sah telah dikeluarkan kepada pemilik struktur berkenaan pada 2017, 2020, 2021 dan kali terakhir pada 13 Mac 2025 selaras kesalahan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara.

Selain itu, operasi perobohan bersepadu pernah dilaksanakan pada 2017 dengan penglibatan beberapa agensi termasuk Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Jabatan Kerja Raya (JKR), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Dalam perkembangan sama, MPKj turut mengeluarkan notis serta tawaran kompaun pada 2016, 2017, 2019 dan 2021 di bawah Seksyen 70(1) serta arahan Seksyen 72(1)(b)(c) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 kerana mendirikan bangunan tanpa kebenaran bertulis.

Mohd Jusni berkata LUAS turut membuka kertas siasatan pada tahun ini di bawah Seksyen 43(4) dan Seksyen 70(3) Enakmen LUAS 1999 terhadap pihak yang bertanggungjawab mendirikan struktur tanpa kebenaran.

"Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Sementara itu, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Selangor turut menyertai operasi bersama polis menerusi Ops Kutip yang dijalankan di Kajang pada 28 Februari lalu, yang membawa kepada penahanan 42 warga asing kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.