SINGAPURA, 9 JUN: Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang bakal dibentangkan dalam masa terdekat akan menumpukan pembangunan kawasan luar bandar, antaranya Hulu Selangor dan Kuala Selangor.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata agenda pembangunan lima tahun sehingga 2030 itu bukan sahaja bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi, malah memastikan kesejahteraan serta kelestarian kehidupan rakyat.
“RS-2 akan menjadi nadi pertumbuhan ekonomi negeri di samping menjamin kehidupan penduduk yang lebih selesa. Selepas ini, tumpuan tidak lagi kepada kawasan seperti Subang, Klang dan Petaling Jaya.
“Kita bangunkan Hulu Selangor. Satu lagi syarikat automotif dari China akan datang melabur jadikan kawasan itu lebih pesat. Hulu Selangor sudah ada UMW Aerospace Sdn Bhd dan Perodua.
“Kuala Selangor pun dalam fokus. Kita bangunkan jajaran rel kereta api. Sekarang sudah sampai (jajaran) Klang. Lepas ini kita bincang untuk hubungkan kawasan Selatan Selangor ke pusat untuk hidupkan lagi negeri ini,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata demikian ketika sesi ramah mesra bersama Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura serta pelajar universiti yang sedang menuntut di republik itu.
Sebelum ini, Amirudin memaklumkan RS-2 yang dijangka dibentangkan bulan ini dirangka dengan mengambil kira cabaran semasa termasuk ketegangan geopolitik global, krisis tenaga dan ketidaktentuan ekonomi dunia.
Beliau berkata pendekatan baharu yang lebih berdaya tahan dan adaptif diperlukan bagi memastikan Selangor terus kekal kompetitif serta mampan dalam tempoh lima tahun akan datang.
Menurutnya, antara pendekatan yang diketengahkan dalam RS-2 ialah model pembangunan berorientasikan misi yang menjadi antara pendekatan utama pakar ekonomi terkenal, Mariana Mazzucato.
Semalam, Amirudin memulakan lawatan rasmi ke Singapura selama tiga hari sehingga Rabu bawah Program S R Nathan Fellowship.
Program itu bertujuan menggalakkan pertukaran pandangan serta perkongsian pengalaman antara pemimpin dan pegawai kanan luar negara dengan Singapura dalam pelbagai bidang strategik.
Semalam, Kementerian Luar Negeri Singapura berkata lawatan itu akan memberi peluang kepada Amirudin mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin kanan republik berkenaan.
Antaranya Menteri Kanan Singapura, Lee Hsien Loong, Menteri Luar Negeri, Vivian Balakrishnan, Menteri Pendidikan, Desmond Lee serta Menteri Pembangunan Negara, Chee Hong Tat.










