SHAH ALAM, 14 OKT: Dato’ Menteri Besar menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terus menyumbang tenaga dan khidmat bagi membantu rakyat Palestin, khususnya aktivis Global Sumud Flotilla.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keberanian aktivis tersebut membawa suara Gaza ke perhatian dunia perlu disusuli bantuan kemanusiaan dan usaha berterusan bagi memperjuangkan kebebasan rakyat Palestin.
“Setiap sumbangan, walau sekecil mana sekalipun, mempunyai makna besar dalam mempertahankan kebebasan, keadilan dan maruah rakyat Palestin.
“Seperti ditegaskan Perdana Menteri, perjuangan Palestin menyentuh nilai kemanusiaan sejagat. Setiap manusia berhak hidup dengan aman, bebas daripada penjajahan, penindasan dan kekejaman,” katanya menerusi Facebook.
Malam tadi, Amirudin menghadiri Majlis Makan Malam Sumud Nusantara di Pusat Konvensyen Bangi Avenue sempena Kongres Global Sumud 2026. Majlis itu turut disertai kira-kira 1,000 aktivis dari 43 negara.
Majlis yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu turut menyaksikan pelancaran resolusi Sumud Protokol yang menetapkan rangka kerja tindakan selama 12 bulan bagi memperkukuh tekanan antarabangsa terhadap rejim Zionis.
Dalam ucaptama, Anwar menegaskan Malaysia akan terus menyokong usaha Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin sehingga keadilan dan kebebasan dapat ditegakkan.









