SHAH ALAM, 10 OKT: Belanjawan Persekutuan 2027 yang memperuntukkan RM510 bilion bertujuan menangkis cabaran kos sara hidup, selain membina daya tahan individu dan keluarga agar tidak bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata belanjawan bertemakan ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’ itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk terus memelihara kesejahteraan rakyat ketika dunia berdepan krisis bekalan susulan konflik Asia Barat.
Beliau berkata peruntukan RM72.9 bilion bagi subsidi termasuk BUDI95 dan BUDI Diesel, serta peningkatan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) memperlihatkan usaha kerajaan meringankan beban rakyat akibat tekanan kos sara hidup.
“Peruntukan ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan supaya rakyat dibantu dan tidak terjatuh dalam kepompong kemiskinan.
“Dasar ini akan membangun sebuah masyarakat yang berkeyakinan serta membina daya tahan individu dan keluarga supaya tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan untuk menikmati hidup yang lebih selesa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Amirudin berkata peruntukan RM47.7 bilion bagi sektor kesihatan dan RM69 bilion untuk pendidikan, masing-masing meningkat RM1.2 bilion dan RM2.8 bilion, akan memperkukuh penyampaian perkhidmatan asas kepada rakyat.
Beliau turut menyambut baik langkah menaikkan gaji minimum nasional daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan serta pengenalan kerangka pendapatan baharu, termasuk gaji minimum RM2,500 bagi pekerja separa mahir dan graduan.
Menurutnya, Kerajaan Negeri turut mengalu-alukan peningkatan pinjaman dan pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kepada RM57 bilion bagi memperluas potensi sektor yang mewakili 39.7 peratus daripada keseluruhan syarikat di Malaysia.
Dalam aspek tatakelola, beliau berkata cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Entiti Milik Kerajaan, penubuhan Suruhanjaya Reformasi Undang-Undang Malaysia serta komitmen mendedahkan maklumat projek dan perolehan kerajaan diyakini mampu meningkatkan keyakinan rakyat dan sektor perniagaan terhadap pengurusan negara.
Katanya, Kerajaan Selangor turut menyambut baik peruntukan RM100 juta bagi memperluas Empangan Batu dan Klang Gates serta kolam takungan untuk menangani banjir kilat dan mengurangkan keresahan penduduk yang terjejas.
Selain itu, Amirudin mengalu-alukan pembinaan Kompleks Sekolah Bandar Serenia di Sepang serta kerjasama Kerajaan Negeri dengan Khazanah bagi membangunkan potensi industri semikonduktor yang berupaya memperluas sektor pembuatan tempatan.
“Kerajaan Negeri bersedia bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan bagi memastikan segala inisiatif yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan demi manfaat rakyat Selangor dan negara,” katanya.








