Tujuh pelajar ditahan bantu siasatan kes pukul remaja perempuan

28 Mei 2026, 3:26 PM
Tujuh pelajar ditahan bantu siasatan kes pukul remaja perempuan

SHAH ALAM, 28 MEI: Polis menahan tujuh pelajar sebuah sekolah menengah bagi membantu siasatan susulan video tular membabitkan kes membelasah pelajar perempuan, sejak semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman, berkata semua pelajar itu ditahan kira-kira jam 3 petang tadi.

"Tangkapan membabitkan enam pelajar perempuan dan seorang pelajar lelaki berusia 15 hingga 17 tahun.

"Pelajar lelaki ditahan dipercayai bertindak sebagai individu merakam keseluruhan kejadian itu," katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Berita Harian.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, polis menjalankan siasatan berhubung insiden berkenaan selepas menerima laporan dibuat mangsa sendiri sehari selepas kejadian.

Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku kira-kira jam 8 pagi pada 22 Mei lalu apabila mangsa dipercayai dipukul dengan tangan oleh lima pelajar perempuan.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami lebam pada kedua-dua bahu dan kaki, lebam pada telinga kiri dan luka kecil di lutut kiri.

Semua pelajar yang terbabit dipercayai mengenali antara satu sama lain dan berhubung melalui kumpulan di aplikasi WhatsApp dikenali sebagai 'Angel'.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.