Lelaki pukul, ugut mangsa selepas ditegur potong barisan dicari polis

11 Nov 2026, 12:15 AM
Lelaki pukul, ugut mangsa selepas ditegur potong barisan dicari polis

SHAH ALAM, 11 MOV: Polis mencari seorang lelaki yang disyaki memukul dan mengugut mangsa selepas ditegur kerana memotong barisan ketika membuat pembayaran di sebuah kedai serbaneka di Mutiara Subang, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berhubung kejadian mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dengan suspek ketika berada di kedai serbaneka berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham apabila mangsa menegur seorang lelaki yang memotong barisan ketika membuat pembayaran.

“Akibat berang ditegur, suspek dipercayai bertindak memukul dan mengugut mangsa sebelum melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal,” katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro.

Mohd Hafiz berkata usaha mengesan lelaki terbabit giat dijalankan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Sarjan Shamie Yosup di talian 013-6463069 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di talian 03-6156 1222.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video dipercayai daripada mangsa yang memaparkan seorang lelaki membuka baju sambil melakukan provokasi.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.