Lelaki belasah penunggang motosikal, berang bayi terjaga, menangis bunyi ekzos

29 Sep 2026, 1:31 PM
Lelaki belasah penunggang motosikal, berang bayi terjaga, menangis bunyi ekzos

SHAH ALAM, 29 SEPT: Seorang lelaki memukul penunggang motosikal di sebuah kedai serbaneka di Jalan Ismail di sini selepas tidak berpuas hati bunyi ekzos motosikal mangsa mengejutkan bayi yang dipangku isterinya, awal pagi Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani, berkata kejadian kira-kira jam 1 pagi itu berlaku selepas suspek yang juga lelaki tempatan mendakwa mangsa memotong kenderaan dinaikinya sebelum membunyikan ekzos motosikal dengan kuat, lapor Berita Harian.

"Suspek berang apabila bunyi ekzos itu menyebabkan bayi yang dipangku isterinya terjaga dan menangis sebelum bertindak memukul mangsa yang juga lelaki tempatan.

"Akibat kejadian itu, mangsa mendapatkan rawatan di hospital dan disahkan mengalami kecederaan pada pipi kiri dan perut," katanya.

Abdul Razak berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu selepas video berdurasi satu minit 45 saat tular di laman sosial.

Katanya, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

"Kertas siasatan sudah dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Johor hari ini untuk tindakan selanjutnya.

"Suspek diarahkan untuk dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Majistret Mersing esok," katanya.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak mengikut emosi yang akhirnya boleh memudaratkan diri sendiri.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.