Wanita dipukul dalam tren LRT, polis giat kesan suspek

26 Sep 2026, 12:03 AM
Wanita dipukul dalam tren LRT, polis giat kesan suspek

SHAH ALAM, 26 SEPT: Polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang wanita dipukul ketika menaiki tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya, baru-baru ini.

Dalam kejadian pada 22 September lalu, mangsa berusia 45 tahun didakwa diserang secara tiba-tiba oleh seorang lelaki yang tidak dikenali ketika berada di dalam tren tersebut, lapor Berita Harian.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Annas Sulaiman berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada jam 6.35 petang, hari yang sama.

“Susulan laporan diterima, satu kertas siasatan dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.

“Polis sedang menjalankan siasatan bagi mengesan suspek selain mengenal pasti motif sebenar kejadian,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama saksi atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan.

Maklumat boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Sharifah Khadijah Syed Rohani di talian 03-9289 9258 atau 03-9289 9222.

Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.