PWS salur RM30,000 manfaat wakaf kepada Masjid Sungai Ramal Luar

9 Mei 2026, 7:32 AM
PWS salur RM30,000 manfaat wakaf kepada Masjid Sungai Ramal Luar
PWS salur RM30,000 manfaat wakaf kepada Masjid Sungai Ramal Luar
PWS salur RM30,000 manfaat wakaf kepada Masjid Sungai Ramal Luar
PWS salur RM30,000 manfaat wakaf kepada Masjid Sungai Ramal Luar

HULU LANGAT, 9 MEI: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) terus memperkukuh agenda pembangunan wakaf produktif menerusi penyaluran Agihan Manfaat Wakaf berjumlah RM30,000 kepada Masjid Sungai Ramal Luar, Kajang hasil pembangunan stesen minyak wakaf Sungai Merab.

Majlis penyerahan disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif PWS Anuar Hamzah Tohar dan disaksikan Nazir Masjid Sungai Ramal Luar, Kidzbullah Ridzuan.

PWS menerusi kenyataan di Facebook berkata, program itu menjadi simbolik kejayaan pembangunan aset wakaf secara mampan dan strategik yang berjaya menjana manfaat berterusan kepada masyarakat.

Dalam majlis sama, Anuar turut menyampaikan tazkirah dan taklimat berkaitan peranan PWS dalam merealisasikan hasrat pewakaf melalui pengurusan, pembangunan serta pengagihan manfaat wakaf secara profesional dan telus.

Pembukaan stesen minyak Wakaf pertama negeri selangor di Petron Sungai Merab, Bangi pada 30 Disember 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Beliau berkata pendekatan itu penting bagi memastikan aset wakaf dapat dimanfaatkan secara optimum demi kesejahteraan ummah.

“Wakaf bukan sekadar ibadah, malah instrumen pembangunan ekonomi Islam yang mampu memberi manfaat berterusan kepada masyarakat jika diurus secara profesional dan strategik,” katanya.

Taklimat berkenaan turut memberi pencerahan kepada jemaah mengenai kepentingan wakaf sebagai medium pembangunan ekonomi Islam yang berimpak tinggi kepada masyarakat.

Untuk rekod, stesen minyak wakaf Sungai Merab mula beroperasi secara rasmi pada 29 Disember 2025 dan kini berjaya menjana manfaat yang disalurkan semula kepada institusi masjid serta pembangunan ummah.

Inisiatif itu membuktikan pembangunan aset wakaf secara lestari mampu menjadi pemangkin kepada penjanaan manfaat jangka panjang kepada masyarakat Islam, khususnya institusi masjid, selaras komitmen PWS memperluas pembangunan wakaf berimpak tinggi di Selangor.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.