PWS salur RM85,000 tingkat kemudahan tiga institusi pendidikan Islam

27 Nov 2026, 1:00 PM
PWS salur RM85,000 tingkat kemudahan tiga institusi pendidikan Islam

SHAH ALAM, 27 NOV: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menyalurkan sumbangan RM85,000 kepada tiga institusi pendidikan Islam di Selangor bagi menaik taraf kemudahan sekolah.

Sumbangan menerusi peruntukan Fisabilillah itu membabitkan Sekolah Rendah Agama (SRA) Dato’ Abu Bakar Baginda, Kajang, SRA Taman Permata, Hulu Klang dan KAFA Integrasi Masjid Proton, Shah Alam.

Daripada jumlah keseluruhan itu, SRA Dato’ Abu Bakar Baginda menerima sumbangan RM45,000 bagi menaik taraf surau dan pintu kelas. Manakala SRA Taman Permata menerima RM15,000 untuk menaik taraf sistem siar raya sekolah.

Sementara baki RM25,000 lagi disalurkan kepada KAFA Integrasi Masjid Proton bagi kerja baik pulih serta penambahbaikan infrastruktur.

Penyerahan sumbangan pada 24 November lalu disempurnakan wakil Bahagian Korporat PWS, iaitu Pengurus Bahagian Korporat PWS, Muhammad Hafiz Bahari bagi SRA Dato’ Abu Bakar Baginda.

Penolong Eksekutif Bahagian Korporat Perbadanan Wakaf Selangor, Muhammad Suffian Assauri menyampaikan cek cura Wakaf Fisabilillah berjumlah RM25,000 kepada wakil KAFA Integrasi Masjid Proton di sekolah berkenaan di Shah Alam pada 24 November 2026. Foto Facebook Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) MAIS

Sementara itu, penyerahan kepada SRA Taman Permata dan KAFA Integrasi Masjid Proton disempurnakan Penolong Eksekutif Bahagian Korporat PWS, Muhammad Suffian Assauri.

Turut diadakan sesi taklimat wakaf bagi memberikan pendedahan kepada warga sekolah mengenai kepentingan ibadah wakaf serta manfaatnya terhadap pembangunan ummah.

Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan PWS dalam memperkasakan pendidikan Islam menerusi penyediaan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, selesa dan berkualiti.

Penolong Eksekutif Bahagian Korporat Perbadanan Wakaf Selangor, Muhammad Suffian Assauri menyampaikan cek cura Wakaf Fisabilillah berjumlah RM15,000 kepada wakil SRA Taman Permata di sekolah berkenaan di Hulu Klang pada 24 November 2026. Foto Facebook Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) MAIS

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.