SUBANG, 11 NOV: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) merancang membangunkan pusat jagaan warga emas dan hospital wakaf di negeri ini bagi memperluas manfaat wakaf kepada masyarakat, khususnya golongan memerlukan.
Pengerusinya, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata pihaknya mengenal pasti dua bidang tanah berpotensi di sekitar Kota Kemuning dan Jenjarom untuk dibangunkan sebagai pusat jagaan warga emas.
Menurutnya, projek berkenaan dicadangkan menggunakan konsep wakaf sepenuhnya merangkumi tanah dan kos pembangunan sekali gus berpotensi menjadi pusat jagaan warga emas pertama seumpamanya di bawah PWS.

“Perbincangan sedang dibuat untuk membangunkan pusat jagaan warga emas ini. Insya-Allah, perkara ini akan dibawa kepada lembaga pengarah dan kita berharap persiapan dapat dilakukan sebelum kerja pecah tanah dimulakan tahun depan,” katanya.
Beliau ditemui selepas pelancaran Kempen Year End Wakaf 2026 anjuran PWS dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad di Geno Hotel, di sini, hari ini.
Syed Zainal Abidin berkata, pusat di Kota Kemuning disasarkan untuk golongan berpendapatan sederhana, manakala lokasi di Jenjarom berpotensi memenuhi keperluan golongan B40 dan ke bawah.
Kedua-dua pusat itu turut dirancang menyediakan kemudahan perubatan termasuk rawatan dialisis dan penjagaan individu yang menghidap demensia, selain menggabungkan konsep pondok moden.

Dalam perkembangan sama, PWS turut merancang membangunkan hospital wakaf bagi membantu memenuhi keperluan kemudahan kesihatan di Selangor, khususnya dari segi kapasiti katil pesakit.
Syed Zainal Abidin berkata, pihaknya mempunyai beberapa bidang tanah strategik yang berpotensi dibangunkan, namun perbincangan dengan agensi berkaitan masih berlangsung.
Antara pihak yang terlibat termasuk Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menerusi anak syarikatnya, Selgate Corporation Sdn. Bhd., serta Worldwide Holdings Berhad.
“Perbincangan sedang dijalankan dan belum ada keputusan muktamad, tetapi harapan kita, kalau boleh, mahu adakan hospital wakaf di negeri Selangor,” katanya.
Beliau berkata, hospital berkenaan bukan sahaja bertujuan memenuhi keperluan pesakit, malah diharap dapat memberi manfaat kepada golongan miskin dan asnaf.








