SUBANG, 11 NOV: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menyasarkan kutipan wakaf RM100 juta tahun ini dengan memperluas penyertaan masyarakat dan sektor korporat dalam amalan berkenaan.
Pengerusinya, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata pelbagai pendekatan akan diteruskan bagi meningkatkan kesedaran serta keyakinan orang ramai terhadap pengurusan dan manfaat wakaf.
“Insya-Allah kita akan cuba dengan segala upaya dan memang ini kita dapat lihatlah, kesedaran makin amat meningkat. Pihak media pun kita ucap terima kasih kerana memainkan peranan.
"Tak kenal tak cinta, jadi kita sendiri kena mengambil pendekatan untuk memberi penerangan dan menukar persepsi masyarakat terhadap wakaf,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran Kempen Year End Wakaf 2026 anjuran PWS dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad di sini, hari ini.
Menurut beliau, kempen yang berlangsung dari 15 Oktober hingga 31 Disember itu bertujuan meningkatkan kefahaman rakyat Selangor mengenai peranan wakaf sebagai instrumen menjana ekonomi umat Islam.
Katanya, kempen berkenaan turut menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM17,000 kepada peserta yang menyertai inisiatif itu menerusi kod Respons Pantas (QR) Bank Islam.
Antara hadiah ditawarkan ialah lima jam tangan pintar, tiga televisyen pintar, tiga basikal elektrik, tiga skuter elektrik dan 10 keping jongkong emas seberat satu gram setiap satu.
Mengulas lanjut, Syed Zainal Abidin berkata penyertaan masyarakat menunjukkan peningkatan sejak kempen bermula pada Oktober lalu, namun usaha hebahan perlu dipergiat sepanjang baki tempoh pelaksanaannya.

Selain penyertaan individu, katanya, PWS turut menggalakkan penglibatan lebih banyak syarikat korporat termasuk yang diterajui bukan Islam bagi memperluas manfaat wakaf kepada masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Jadi, kita perlu lebih proaktif, pergi kepada mereka dan memberi penerangan. Alhamdulillah, maklum balas yang saya terima, ada yang menyatakan mereka baru mengetahui mengenai perkara ini,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa manfaat wakaf tidak terhad kepada pembinaan masjid dan surau, sebaliknya merangkumi bidang pendidikan, pembelian peralatan perubatan, perkhidmatan dialisis serta kemudahan kesihatan lain.









