Sejak 2019 pelbagai tindakan diambil, PWS teruskan tindakan perundangan isu tanah wakaf Selayang

16 Nov 2026, 3:25 AM
Sejak 2019 pelbagai tindakan diambil, PWS teruskan tindakan perundangan isu tanah wakaf Selayang

SHAH ALAM, 16 NOV: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) telah mengambil pelbagai tindakan sejak 2019 bagi menyelesaikan isu pencerobohan sebuah hartanah wakaf di Jalan 11, Selayang Baru, Batu Caves, termasuk mengeluarkan notis pengosongan premis dan membuat laporan polis.

PWS dalam kenyataan dikeluarkan semalam memaklumkan pihaknya turut mengadakan perbincangan serta sesi mediasi dengan individu yang menduduki hartanah berkenaan bagi mencari penyelesaian secara baik.

Bagaimanapun, usaha tersebut masih belum mencapai penyelesaian yang diharapkan sehingga Januari 2026.

Sehubungan itu, PWS mengarahkan peguam yang dilantik untuk meneruskan tindakan perundangan di mahkamah terhadap pihak yang menduduki hartanah berkenaan tanpa kebenaran sah.

Menurut PWS, hartanah itu merupakan harta wakaf yang didaftarkan bagi manfaat umum pada 12 November 2014.

Selaras dengan Perintah Penubuhan Perbadanan Wakaf Selangor 2011 dan (Pindaan) 2012, PWS bertanggungjawab menguruskan hartanah berkenaan selepas menerima penyerahan pengurusan daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada 2018.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas satu hantaran di Facebook oleh pengguna bernama ‘Hang Tanim’ pada 13 November lalu yang membangkitkan perkara itu. 

Dalam kenyataan sama, PWS menegaskan komitmennya untuk menyelesaikan isu berkenaan dengan segera berlandaskan undang-undang bagi memastikan kepentingan serta hak terhadap harta wakaf terus terpelihara.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.