Stesen minyak wakaf pertama negara mula operasi di Sungai Merab

30 Dis 2025, 1:07 PM
Stesen minyak wakaf pertama negara mula operasi di Sungai Merab
Stesen minyak wakaf pertama negara mula operasi di Sungai Merab
Stesen minyak wakaf pertama negara mula operasi di Sungai Merab

KAJANG, 30 Dis: Stesen minyak wakaf pertama di Malaysia dilengkapi restoran makanan segera dua tingkat di Sungai Merab mula beroperasi, sekali gus mencipta sejarah baharu dalam pembangunan ekonomi Islam berasaskan wakaf.

Projek perintis itu direalisasikan oleh Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) di atas tanah wakaf milik Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Ketua Pegawai Eksekutif PWS, Anuar Hamzah Tohar berkata pembangunan stesen minyak berkenaan bertujuan memberi manfaat kepada penduduk setempat selain menyumbang kepada pengukuhan ekonomi Islam di negeri ini.

“Ini merupakan stesen minyak pertama yang dibangunkan di atas tanah wakaf dan ia terbuka kepada umat Islam dan bukan Islam,” katanya pada sidang media di stesen minyak wakaf pertama di Sungai Merab di sini, hari ini.

Menurut beliau, operasi stesen minyak itu membolehkan konsep wakaf dilaksanakan secara praktikal melalui aktiviti harian masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor, Anuar Hamzah Tohar dalam sidang media pembukaan stesen minyak Wakaf pertama negeri selangor di Petron Sungai Merab, Bangi pada 30 Disember 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Setiap kali orang ramai mengisi minyak di sini, secara tidak langsung mereka menyumbang kepada pengukuhan ekonomi Islam,” jelasnya.

Anuar berkata kemudahan tersebut memberi manfaat kepada penduduk sekitar Sungai Ramal Luar, Kajang dan Bangi, selain berperanan menjana pulangan berterusan hasil pembangunan tanah wakaf.

Katanya, hasil daripada perniagaan stesen minyak itu akan disalurkan kepada Masjid Sungai Ramal Luar.

“Insya-Allah, 50 peratus hasil akan disalurkan bergantung kepada jumlah jualan selaras dengan niat pewakaf asal,” katanya.

Selain stesen minyak, beliau berkata tanah wakaf berkenaan turut dirancang untuk pembangunan komersial lain yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.

“Tanah wakaf ini berkeluasan empat ekar dan kira-kira 1.25 ekar digunakan untuk stesen minyak ini, manakala selebihnya dirancang untuk pembangunan lain,” ujarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor, Anuar Hamzah Tohar menyampaikan cenderhati kepada orang ramai ya g hadir ketika pembukaan stesen minyak Wakaf pertama negeri selangor di Petron Sungai Merab, Bangi pada 30 Disember 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Dalam perkembangan sama, PWS merancang untuk membangunkan tiga lagi stesen minyak wakaf di beberapa lokasi lain di Selangor dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.

“Antara lokasi yang sudah dikenal pasti ialah Johan Setia dan Jalan Kebun di Klang serta Jalan Reko di Kajang,” katanya.

Beliau berkata kos pembangunan stesen minyak wakaf pertama itu mencecah kira-kira RM9 juta dan dibiayai sepenuhnya menggunakan dana wakaf, dengan Petron dipilih sebagai rakan strategik.

“Matlamat utama kami ialah memastikan hasil tanah wakaf dikembalikan kepada penerima manfaat,” katanya.