SHAH ALAM, 5 MEI: Sebanyak 13 surau dan dua masjid di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara menerima sumbangan korban sempena sambutan Aidiladha.
Wakil rakyatnya Ng Sze Han berkata dua persatuan dan sebuah sekolah Kelas Al-Quran & Fardu Ain juga menerima sumbangan lembu dan kambing untuk pelaksanaan ibadah tersebut.
“Istimewanya tahun ini, majlis penyerahan bauca dan Insentif Haji Muassasah telah dilaksanakan di Masjid Jamek Batu 12 Puchong , iaitu sebuah masjid yang paling lama di kawasan Puchong.
“Semoga program ini memberi manfaat dan kebaikan kepada peserta haji dan ibadah korban,” tulisnya dalam hantaran di Facebook.

Sebelum ini, Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata pihaknya memperuntukkan RM1.5 juta bagi pelaksanaan ibadah korban sempena Aidiladha tahun ini.
Ahmad Azri Zainal Nor memaklumkan peruntukan itu akan digunakan untuk pembelian lembu korban sebelum diagihkan kepada penerima yang layak.
Menurutnya, agihan tersebut diuruskan oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor bersama pejabat EXCO Pertanian, Dato’ Ir Izham Hashim.
Pada masa sama, Sze Han memaklumkan sebanyak 28 permohonan di DUN Kinrara bagi insentif Haji Muassasah sebanyak RM1,500 turut diluluskan untuk tahun ini.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan peningkatan insentif berkenaan kepada RM1,500 berbanding RM1,000 sebelum ini diluluskan menerusi Belanjawan Selangor 2026 dengan peruntukan keseluruhan RM9 juta.
Sejak diperkenalkan pada 2022, inisiatif Insentif Haji Muassasah telah memanfaatkan kira-kira 18,000 jemaah haji dari Selangor.








